Ahli Parlimen, ADUN PH Sabah bertemu PM bincang pembangunan negeri

PM Anwar Ibrahim bergambar bersama Ahli Parlimen dan ADUN PH Sabah dalam pertemuan di pejabatnya pada Selasa. -Foto:Media Ewon Benedick
PM Anwar Ibrahim bergambar bersama Ahli Parlimen dan ADUN PH Sabah dalam pertemuan di pejabatnya pada Selasa. -Foto:Media Ewon Benedick
A
A
A

PUTRAJAYA - Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Sabah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa bagi membincangkan agenda pembangunan Sabah.

Pertemuan turut disertai dua menteri persekutuan dari negeri itu Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Ewon Benedick dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Armizan Mohd Ali.

Ewon yang juga Presiden UPKO dan Ahli Parlimen Penampang berkata, pertemuan tersebut membincangkan komitmen Kerajaan Perpaduan mengenai agenda pembangunan di Sabah khususnya berkaitan dengan infrastruktur asas dan keusahawanan.

“Tahun ini adalah ulang tahun ke-60 penubuhan Persekutuan Malaysia. Justeru, kami memaklumkan kepada perdana menteri mengenai isi hati rakyat Sabah berhubung pembangunan dan tuntutan rakyat negeri itu agar kerajaan persekutuan dapat menyalurkan peruntukan yang lebih besar untuk mengatasi pelbagai keperluan pembangunan di Sabah.

Anwar beramah mesra bersama sebahagian Ahli Parlimen dan ADUN PH Sabah selepas mengadakan perbincangan berkaitan pembangunan Sabah di Putrajaya. - -Foto:Media Ewon Benedick
Anwar beramah mesra bersama sebahagian Ahli Parlimen dan ADUN PH Sabah selepas mengadakan perbincangan berkaitan pembangunan Sabah di Putrajaya. - -Foto:Media Ewon Benedick

“Perdana Menteri komited terhadap tuntutan rakyat ini dan kami berharap sambutan Hari Malaysia yang ke-60 tahun pada tahun ini memberi makna besar kepada seluruh rakyat Sabah dengan adanya kerajaan persekutuan baharu di bawah teraju pimpinan baharu iaitu Datuk Seri Anwar,” ujar Ewon dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, Ahli Parlimen dan ADUN yang hadir telah menyatakan pelbagai perkara kepada Perdana Menteri termasuk permasalahan di kawasan diwakili masing-masing, antaranya masalah bekalan air, jalan raya, sekolah daif, klinik kesihatan dan pembangunan keusahawanan.

Perdana Menteri juga menurut Ewon turut bersetuju mengadakan lawatan kerja ke Sabah bagi meninjau sendiri beberapa permasalahan rakyat dan dijangka membuat pengumuman-pengumuman penting berkaitan pembangunan negeri itu. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!