Sidang DUN Pahang 'panas' bahas isu peruntukan
KUANTAN- Titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya memberikan peruntukan yang adil kepada wakil rakyat pembangkang menjadi tumpuan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada Selasa.
Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) ketika membahaskan usul ucapan terima kasih di atas titah ucapan diraja Tengku Hassanal berharap kerajaan Pahang dapat menyalurkan peruntukan itu.
Ketua Pembangkang DUN Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas-Cheka) berkata, isu terbabit dilaporkan secara meluas oleh media dan berharap kerajaan negeri dapat merealisasikannya.
Situasi itu, menjadi sedikit tegang pada sebelah petang apabila Shahril Azman Abdul Halim (Pas-Jengka) semasa perbahasannya turut menyentuh isu peruntukan.
Beliau mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Kelantan dan Terengganu diberi peruntukan sama seperti rakan kerajaan mereka.
Bagaimanapun, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak (BN-Benta) kemudian bangun dan mengatakan tidak bersetuju dengan Shahril berkenaan peruntukan.
Beliau meminta pemimpin daripada Pas itu memberikan jumlahnya.
Tuan Ibrahim kemudian mencelah dan mengesahkan dengan Menteri Besar Kelantan (Datuk Ahmad Yakob) bahawa peruntukan sama rata diberikan kepada semua wakil rakyat daripada kedua-dua perpecahan politik di Kelantan.
Beliau menunjukkan telefon bimbitnya ke arah orang lain pada persidangan terbabit dan memaklumkan menerima maklumat terkini daripada Ahmad mengesahkan peruntukan itu diserahkan kepada semua wakil rakyat.
Shahril Azman mengesahkan maklumat itu adalah tepat memandangkan Tuan Ibrahim adalah Timbalan Presiden Pas dan rapat dengan pemimpin tertinggi negeri.
Ketika sesi perbahasan berlangsung, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bangkit berkata, pegawainya baru sahaja menghubungi ADUN UMNO Kok Lanas (Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad) dan ada perbincangan untuk memberi peruntukan sama rata tetapi tiada apa yang menjadi kenyataan.
Beliau berkata, Pejabat Kewangan Pahang juga telah menyemak dengan Pejabat Kewangan Kelantan dan mengesahkan tiada peruntukan sedemikian.
Apabila menyedari topik mengenai peruntukan itu hangat diperkatakan, Tuan Ibrahim bangun berkata, beliau bersetuju sebelum ini tiada peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang.
"Malah ketika saya menjadi ADUN pembangkang pada 1999 (ADUN Jengka), saya tidak menerima apa-apa peruntukan. Mari kita buka lembaran baharu bersama-sama.
"Zaman sebelumnya sudah berlalu jadi sekarang mari bina Pahang baharu," katanya.
Timbalan Speaker DUN Pahang, Lee Chin Chen segera mengingatkan semua wakil rakyat di dewan yang mulia supaya memastikan fakta mereka tepat sebelum berucap dan menghormati masa yang diberikan untuk sesi perbahasan.
Pada Isnin, Tengku Hassanal bertitah agar wakil rakyat pembangkang juga perlu diraikan oleh kerajaan kerana mereka dipilih oleh rakyat dan peruntukan yang adil juga perlu diberikan kepada mereka (pembangkang).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!