4 warga asing ditahan minta wang di Genting Highlands

Tangkap layar video memaparkan wanita warga asing memujuk dan meminta wang daripada pengunjung di Genting Highlands.
Tangkap layar video memaparkan wanita warga asing memujuk dan meminta wang daripada pengunjung di Genting Highlands.
A
A
A

BENTONG - Empat wanita warga asing ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan meminta wang dan mengganggu ketenteraman awam di sekitar kawasan Genting Highlands di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, wanita berusia dalam lingkungan 30 hingga 34 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak 5 Mei lalu.

Menurutnya, tindakan diambil susulan terdapat daripada orang ramai yang terganggu dengan cara suspek memujuk dan merayu meminta wang.

"Kegiatan suspek juga turut dirakam dan ditularkan pengguna media sosial melalui sebuah akaun Facebook pada 9 Mei lalu.

"Semua wanita terbabit ditahan dan dibawa ke Balai Polis Genting Highlands untuk siasatan lanjut," katanya melalui satu kenyataan pada Selasa.

Zaiham berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 27(c) Akta Kesalahan Kecil 1955.

"Mana-mana individu yang didapati meminta sedekah di tempat awam boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM100 atau penjara sehingga sebulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.

Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes itu masih dalam siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!