PBB bimbang krisis makanan semasa jejaskan Asia Barat
BEIRUT - Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bimbang krisis makanan semasa di Asia Barat boleh menjejaskan kestabilan rantau ini, lapor agensi berita Jerman dpa.
Lima negara di rantau ini mengalami kadar inflasi makanan melebihi 60 peratus, menurut Pengarah Wilayah WFP untuk Timur Tengah Corinne Fleischer.
"Apabila makanan tidak lagi mampu dibeli, kelaparan akan terjadi," katanya dalam satu kenyataan pada petang Isnin.
Kebergantungan kepada import dan krisis iklim memburukkan lagi perkembangan ini.
Makanan di rantau ini dibeli pada harga yang tinggi kerana rantau ini tidak menghasilkan bekalan yang mencukupi, kata WFP.
Sementara itu, kemarau, gelombang panas, kebakaran hutan dan banjir memusnahkan tanah pertanian untuk dijadikan makanan.
Semua ini telah "mengheret berjuta-juta orang ke dalam jurang kelaparan," kata Fleischer.
Lubnan paling terjejas akibat keadaan ini, dengan negara kecil Mediterranean itu berada di bahagian atas senarai sepuluh negara paling terjejas di dunia akibat inflasi makanan, menurut laporan Bank Dunia pada April.
Di Syria separuh penduduk menderita akibat keadaan ini, menurut laporan WFP pada Isnin. - Bernama/ DPA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!