Enam pesilat negara buru pingat emas esok
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A
Nor Farah Mazlan memulakan langkah cemerlang skuad silat negara apabila mara ke saingan akhir selepas menewaskan wakil Thailand, Firdao Duromae 58-36 dalam kategori 45-50 kilogram (kg) Putri.
Menanti Nor Farah dalam penentuan pingat emas esok adalah peserta dari Singapura Nadhrah Sahrin.
Langkah kanan pesilat negara diteruskan menerusi Mohd Shahrul Zeckry Sulaiman yang menewaskan peserta Thailand Aekarat Maehchi 44-42, dan akan berdepan Iqbal Candra Pratama dari Indonesia dalam kategori 70-75kg Putra.
Norsyakirah Muksin turut tidak mengecewakan apabila mengesahkan tempat ke akhir kategori bawah 45kg Putri dengan mengalahkan peserta Singapura Nur Tuhfah Md Roslan 6-0. Beliau akan bertemu wakil Indonesia Suci Wulandari esok.
Turut mara Siti Shazwana Ajak yang mengatasi atlet tuan rumah, Phyrom Moniroth 46-5 (60-65kg Putri), Muhammad Izzul Irfan Marzuki mengalahkan At Chandy dari Kemboja 27-6 (60-65kg Putra) dan Muhammad Robial Sobri mengetepikan cabaran peserta Thailand Saranon Glompan 17-10 (85-90kg Putra).
Pada pentas final, Siti Shazwana akan berdepan Atifa Fismawati dari Indonesia, Muhammad Izzul Irfan bertemu atlet Indonesia Kadek Andrey Nova Prayada manakala Muhammad Robial akan membuat perhitungan dengan Sheik Farhan Sheik Alau’ddin dari Singapura.
Dua lagi wakil Malaysia, bagaimanapun gagal meloloskan diri ke peringkat akhir selepas tumpas kepada lawan masing-masing.
Afiq Aniq Fazly tumpas kepada Sheik Firdaus Sheik Alau’ddin dari Singapura 15-28 bagi kategori 75-80kg Putra manakala Nur Syazerra Hidayah Idris terpaksa akur berdepan peserta Indonesia Safira Dwi Meilani apabila tewas 39-46 bagi kategori 50-55kg Putri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!