Hoe Yean ceriakan kontinjen negara

Hoe Yean bersama pingat emas dimenanginya dalam acara 200m gaya bebas akhir Sukan SEA 2023 di Pusat Akuatik Stadium Nasional Morodok Techo pada Selasa.
Hoe Yean bersama pingat emas dimenanginya dalam acara 200m gaya bebas akhir Sukan SEA 2023 di Pusat Akuatik Stadium Nasional Morodok Techo pada Selasa.
A
A
A

PERENANG Khiew Hoe Yean menceriakan kontinjen negara selepas menghadiahkan pingat emas sulung buat kem renang menerusi acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki pada aksi final yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional Morodok Techo di sini, malam Selasa.

Hoe Yean mempamerkan renangan meyakinkan sebaik perlumbaan bermula untuk menjadi yang pertama tiba di penamat dengan catatan masa 1 minit dan 48.91 saat (s).

Atlet berusia 20 tahun itu menewaskan wakil Thailand Dulywat Kaewsriyong yang meraih perak dengan masa 1:49.29s sementara gangsa menjadi milik perenang Vietnam Nguyen Huy Hoang selepas merakam 1:49.31s.

Kejayaan Hoe Yean di sini bukan sahaja menghadiahkan emas ke-14 buat kontinjen negara di temasya sukan dwitahunan itu, malah menyaksikan beliau berjaya mempertahankan emas acara kegemarannya itu yang dimenangi pada edisi di Hanoi, Vietnam tahun lepas.

Pada masa sama, seorang lagi wakil negara Arvin Shaun Singh Chahal menamatkan saingan dengan catatan 1:52.24s di kedudukan terakhir daripada keseluruhan lapan perenang.

Sementara itu, perenang wanita Phee Jinq En terpaksa berpuas hati dengan kilauan perak dalam acara 100m kuak dada wanita selepas mencatat masa 1:09.60s di belakang juara bertahan dari Singapura Letitia Sim yang mendominasi saingan dengan mencipta rekod baharu kejohanan 1:07.94s.

Pingat gangsa diraih seorang lagi wakil Singapura Christie Chue dengan catatan masa 1:10.94s. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!