Kerajaan Perpaduan kekal walau sokongan Melayu masih rendah - KJ

Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yakin Kerajaan Perpaduan yang diterajui Anwar akan kekal atas beberapa faktor antaranya sukar mendapatkan sokongan Istana Negara.

Beliau berpendapat, sebagai pihak yang mencadangkan Kerajaan Perpaduan, Yang di-Pertuan Agong tentunya tidak mahu membuat pusingan U dengan memilih kerajaan baharu.

Khairy juga yakin, bakal Yang di-Pertuan Agong yang baharu juga tidak akan melayan sebarang usaha menukar kerajaan dalam tempoh yang terdekat setelah naik takhta.

"Anda perlu ingat Yang di-Pertuan Agong akan mengosongkan takhtanya di peringkat persekutuan hujung tahun ini, jadi baginda tidak mahu dalam beberapa bulan terakhir ini berdepan pertukaran kerajaan.

"Saya rasa baginda mahu kerajaan ini kekal setelah perlu membuat keputusan sukar ketika kejatuhan PH pada 2018. Baginda juga tidak mahu dilihat sebagai pihak yang mengusahakan Kerajaan Perpaduan dan kemudiannya perlu membuat pusingan U beberapa bulan kemudian.

"Saya rasa baginda tidak akan berbuat demikian dan saya rasa bakal Yang di-Pertuan Agong akan datang juga tidak akan melayan usaha menjatuhkan kerajaan sedia ada dalam beberapa bulan atau setahun selepas naik takhta," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu forum dalam talian yang membincangkan isu 'Mampukah Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik sokongan pengundi Melayu' anjuran Institut Yusof Ishak.

Khairy menjelaskan, dalam satu dapatan yang dilakukannya bersama sebuah firma, sokongan terhadap Anwar sebagai Perdana Menteri di kalangan orang Melayu masih rendah.

"Kami bertanya siapakah yang terbaik sebagai PM sekarang, jawapan dari responden seluruh semenanjung merangkumi Melayu, Cina, India dan sebagainya, Anwar paling tinggi dengan 46 peratus dan Muhyiddin dengan 17 peratus.

"Tetapi bila kita lihat dari undian orang Melayu sahaja, Anwar masih di atas dengan 32 peratus, Muhyiddin 25 peratus, jadi ia sangat dekat.

"Ia menunjukkan sokongan terhadap Anwar di kalangan orang Melayu agak rendah berbanding dapatan keseluruhan yang meliputi pelbagai kaum," katanya.

Dalam pada itu, Khairy menjelaskan, Kerajaan Perpaduan kini berdepan barisan pembangkang yang berteraskan Islam dan Melayu sepenuhnya. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!