Sumatera dilanda banjir, tanah runtuh
JAKARTA - INDONESIA. Sekurang-kurangnya 10 maut manakala lapan lagi hilang dalam kejadian banjir dan tanah runtuh akibat hujan berterusan selama beberapa hari di Sumatera, menurut pihak berkuasa, hari ini.
Kira-kira 12,000 penduduk dipindahkan manakala ratusan bangunan, jambatan dan jalan raya musnah akibat cuaca buruk yang melanda sembilan daerah atau bandar di seluruh wilayah Bengkulu.
Banjir dilaporkan telah surut di beberapa kawasan, namun pihak berkuasa memberi amaran kerosakan sebenar masih belum diketahui memandangkan banyak daerah masih terputus hubungan.
“Impak bencana ini mungkin akan meningkat. Kejadian tanah runtuh dan banjir berpotensi berlaku lagi,” kata jurucakap agensi bencana kebangsaan (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho.
Menurutnya, bencana kedua dalam bentuk penyakit kulit dan jangkitan pernafasan akut akibat kekurangan bekalan air bersih dan penjagaan kebersihan juga berpotensi berlaku.
Ketika ini, dapur awam dan pusat pemindahan telah dibuka untuk menampung kira-kira 13,000 penduduk manakala pasukan penyelamat sedang cuba untuk memasuki kawasan paling teruk terjejas.
“Pengagihan bantuan tidak dapat dilakukan kerana terputus akses jalan akibat banjir dan tanah runtuh,” jelas Sutopo lagi yang menambah alat pengorek telah digunakan untuk membersihkan sisa tanah runtuh.
Dalam insiden berasingan, kira-kira 14 ular sawa didakwa terlepas akibat paras banjir tinggi.
Pihak berkuasa memberitahu enam daripada reptilia berukuran sepanjang empat meter itu bagaimanapun telah ditemui dan bakinya masih dijejaki. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!