Penduduk tertekan, lif sering rosak

Penghuni Blok B, PPR Padang Hiliran kini mengalami masalah lif kerana dua lif berfungsi secara manual.
Penghuni Blok B, PPR Padang Hiliran kini mengalami masalah lif kerana dua lif berfungsi secara manual.
A
A
A

MASALAH kerosakan lif dialami penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran, Kuala Terengganu bukan sebulan dua malah berlarutan sejak sekian lama.

Apa Khabar Rakyat kali ini menyelami keperitan penghuni yang berdepan masalah itu sejak sekian lama.

Wartawan Sinar Harian, NORHASPIDA YATIM mendapati ada antara penghuni sudah biasa turun naik tangga berbelas tingkat untuk ke kediaman masing-masing dan situasi itu lebih membebankan penghuni yang uzur dan sakit.

-----------------------------------------------------

Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran di Kuala Terengganu sepatutnya mempunyai sembilan unit lif untuk digunakan oleh 1,200 unit rumah di tiga buah blok bangunan di perumahan itu, namun setakat ini hanya lima buah lif yang berfungsi di mana tiga daripadanya perlu digerakkan secara manual manakala hanya dua lif yang berfungsi secara automatik.

Seorang penduduk, Muhammad Hafiz Mohd Sadi, 36, yang tinggal di Blok B perumahan itu berkata, masalah kerosakan lif begitu dirasai oleh penghuni di blok tersebut kerana hanya dua lif yang berfungsi, namun perlu digerakkan secara manual.

Katanya, terdapat seorang atau dua orang sukarelawan dalam satu-satu masa yang ditugaskan menunggu untuk menekan butang lif sekiranya terdapat penghuni yang meminta untuk berbuat demikian melalui medium komunikasi aplikasi mudah alih, WhatsApp yang ditubuhkan penghuni perumahan itu.

“Untuk keseluruhan lif yang berfungsi secara manual terdapat seramai 10 orang sukarelawan yang menunggu di dalam lif untuk menjaga lif sekiranya ada dalam kalangan penghuni yang mahu turun atau naik.

“Jika terdapat permintaan untuk turun atau naik, ia akan dimaklumkan melalui WhatsApp grup penghuni dan akan ditekan oleh sukarelawan.

“Langkah ini terpaksa diambil kerana lif ini tidak dapat bergerak turun ke bawah secara automatik. Jika sekiranya tiada sukarelawan yang menunggu dan orang yang naik lif sebelum itu tidak menekan butang G (ground), maka lif itu akan kekal di level itu dan tidak akan bergerak ke mana-mana level lain.

“Kita terpaksa pula mencari lif di setiap level kerana ramai yang sedang menunggu dan mahu gunakan lif berkenaan,” katanya.

Menurut Muhammad Hafiz, masalah itu semakin ketara sekiranya terdapat penghuni yang sakit atau uzur ingin ke hospital atau terdapat kes-kes kecemasan.

“Masalah ni paling ketara jika ada kes pesakit yang mahu dapatkan rawatan segera. Memang jadi rumit kalau tak tahu lif ada di tingkat berapa.

“Untuk sukarelawan ini mereka pun tidak boleh jaga sepanjang 24 jam kerana terpaksa bergilir-gilir dan terutama pada waktu puncak,” katanya.

Katanya lagi, masalah itu juga membebankan terutama pada waktu pagi ketika ingin menghantar anak ke sekolah dan keluar bekerja.

“Biasanya kita akan keluar setengah jam lebih awal atau lebih awal lagi bagi memastikan tidak bertembung dengan orang yang lebih ramai.

“Namun biasanya walaupun keluar rumah lebih awal kita tetap kena menunggu giliran lama dan ia sudah sebati dengan penduduk di sini,” ujarnya yang tinggal di tingkat 12 sejak 2014.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Suhaida Saludin, 43, berkata, dia pernah turun naik tangga dari tingkat 16 kerana lif tidak berfungsi dan terpaksa menunggu terlalu lama.

“Sebelum duduk sini saya tak sakit lutut dan pinggang, namun selepas beberapa kali turun naik tangga lutut mula sakit dan pinggang juga rasa ada masalah.

“Pernah juga berlaku kes di mana salah seorang anak penghuni di sini pengsan selepas naik tangga untuk ke rumahnya. Kebetulan budak itu ada asma dan terpaksa dikejarkan ke hospital,” katanya.

Senada dengan Suhaida, Hazura Sidek, 48, berkata, masalah lif rosak membebankan keluarganya kerana suaminya, Mohd Rahim Abd Hamed, 59, mengalami masalah saraf serta beberapa komplikasi penyakit yang memerlukan rawatan.

“Suami selalu perlu ke hospital untuk ambil ubat namun masalah kerosakan lif ini menyukarkan pergerakan untuk keluar masuk rumah,” katanya.

Sementara itu, seorang penghantar makanan, Hasan Mamat, 24, berkata, dia pernah menunggu lif di situ dalam tempoh lama kerana mahu menghantar makanan.

“Biasanya kalau pesanan saya terima dari tingkat empat atau lima saya akan naik tangga sebab tak mahu menunggu lama.

“Kalau pesanan dari tingkat lebih tinggi saya akan tunggu juga lif sebab tak larat nak panjat tangga,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!