Inter perlu lebih bijaksana hadapi taktikal Milan di San Siro
GERGASI Serie A, Inter Milan mesti berfikir dengan baik dan segera menyesuaikan diri apabila berdepan pasukan pilihan AC Milan dalam perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Stadium San Siro, awal pagi Khamis.
Pengendali Inter Milan, Simone Inzaghi berkata, dua elemen itu penting dalam usaha kelab tersebut membatalkan rekod kekalahan Liga Juara-Juara menentang jiran tertangga bandaraya Milan berkenaan.
"Kami telah bermain banyak kali, saya telah mengatakannya sebelum ini. Tujuh. Kami telah menang, kalah, mara ke separuh akhir, final.
“Kami perlu pandai menggunakan mentaliti kami apabila situasi memerlukan kerana sentiasa ada peristiwa yang tidak dijangka dalam perlawanan penting khasnya dalam perlawanan akhir, kami perlu sentiasa lebih bijaksana berdepan taktikal Milan.
"Ia adalah perlawanan yang sangat penting seperti perlawanan akhir lain. Ia bukan derbi biasa, sebaliknya derbi Euro. Kami tahu apa maknanya untuk kami, untuk kelab, untuk peminat, malah untuk diri saya sendiri.
"Tetapi cukuplah katakan mahu melihat pemain Inter bermain dengan tenang, ketika ini saya melihat pemain-pemain sangat fokus," kata Inzaghi kepada pemberita menjelang pertemuan separuh akhir pertama di San Siro.
Seteru Itali, Inter dan Milan, yang jika digabungkan memenangi 10 kejuaraan Liga Juara-Juara, bertemu satu sama lain sebanyak dua kali di peringkat kalah mati, dengan Milan muncul sebagai pemenang dalam kedua-dua perlawanan sebelumnya - bermain pada 2003 dan 2005.
Bagaimanapun, Inter lebih berjaya dalam pertemuan baru-baru ini, memenangi tiga dan seri dua daripada tujuh derbi dimainkan pasukan sejak Inzaghi mengambil mengendalikan Inter pada 2021.
Kemenangan itu termasuk kemenangan 3-0 dalam perlawanan akhir Piala Super Itali awal tahun ini dan separuh akhir Piala Itali tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!