Wan Saiful dakwa reformasi institusi Anwar hanya lakonan

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Penerangan Parti Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa bahawa reformasi institusi yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah sebuah lakonan.

Menurut beliau, sekiranya Anwar jujur dengan ideanya itu, sudah pasti beliau akan segera mengusulkan Akta Pendanaan Politik yang membawa kepada peruntukan Parlimen yang adil tanpa mengira mana-mana pihak sama ada pembangkang atau kerajaan.

Namun ujarnya, apa yang berlaku adalah sebaliknya di mana pembangkang diminta untuk berunding terlebih dahulu dengan ahli Parlimen Tambun tersebut bagi tujuan peruntukan.

“Peruntukan Parlimen seharusnya diberikan secara automatik kepada semua yang dipilih rakyat, tanpa perlu apa-apa perbincangan.

“Malangnya Anwar hanya berlakon di pentas ceramah saja seolah mahukan reformasi institusi, tapi sebenarnya dia gagal dalam pelaksanaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Baru-baru ini Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kepada kerajaan Pahang supaya memberikan peruntukan adil kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri tersebut.

Baginda bertitah, perkara tersebut adalah sejajar dengan landskap politik nasional yang telah mencapai hampir 66 tahun.

Dalam pada itu, Wan Saiful menambah, pelaksanaan reformasi institusi oleh Anwar tidak mempunyai hala tuju dan cacamarba.

“Jelas sekali Anwar ini pelakon saja,” kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!