Dua ekor lembu mati diracun
MACHANG - Dua ekor lembu ditemui mati dipercayai akibat diracun di Kampung Pangkal Mak Wan di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, penternak menyedari kejadian itu pada jam 5.30 petang apabila terjumpa biji-biji berwarna putih dipercayai baja yang digunakan untuk meracun ternakannya.
Menurut beliau, lelaki berkenaan kemudian membuat laporan polis bagi menyiasat kejadian itu.
“Pengadu pergi ke tempat ternakan miliknya untuk membawa lembu-lembu itu masuk balik ke dalam kandang.
“Dia mendapati dua lembu dalam keadaan terbaring dipercayai selepas memakan buah yang diletak racun,” katanya dalam satu kenyataan media di sini pada Rabu.
Mohd Adli berkata, hasil pemeriksaan polis di sekitar lokasi berhampiran menjumpai separuh buah tembikai berada di atas tanah di kawasan kejadian.
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati terdapat biji-biji berwarna putih dalam buah tembikai tersebut dipercayai baja yang berkemungkinan penyebab kematian lembu tersebut.
“Pegawai Veterinar menjalankan pemeriksaan dan mengambil beberapa organ dalaman lembu sebagai sampel untuk dihantar ke Jabatan Kimia,” katanya.
Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan membunuh haiwan. Sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!