Bekas ketua polis dipenjara seumur hidup kerana edar dadah
JAKARTA - Mahkamah di Jakarta pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas bekas Ketua Polis Wilayah Sumatera Barat, Teddy Minahasa Putra selepas disabitkan bersalah mengedar lima kilogram dadah methamphetamine.
Teddy didapati bersalah mengarahkan pegawai bawahannya menukar dadah tersebut yang asalnya dirampas sebagai bahan bukti jenayah dengan ‘potassium alum’ untuk dijual secara haram.
Mahkamah diberitahu, Teddy mengedar dadah berkenaan melalui orang awam yang bertindak sebagai orang tengah.
Peguam bela Teddy ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.
Dalam prosiding tersebut pihak pendakwa raya memohon tertuduh dikenakan hukuman mati, namun selepas mengambil kira perkhidmatan Teddy selama 30 tahun dalam pasukan polis hakim menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atasnya. – AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!