MADA beri jaminan fenomena El Nino tak jejas tanaman padi
ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memberi jaminan fenomena El Nino atau cuaca kering yang dijangka berlaku pada bulan ini tidak akan menjejaskan aktiviti tanaman padi musim 1/2023 di kawasan Muda.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Cawangan Komunikasi Korporat MADA, sumber air utama pengairan padi adalah daripada pelepasan empangan dan bekalan air pengairan adalah mencukupi mengikut fasa-fasa pengairan Jadual Penanaman Padi Musim 1/2023.
Katanya, sehingga Rabu, jumlah takungan Empangan Pedu adalah sebanak 71.89 peratus, Empangan Muda 55 peratus dan Empangan Ahning 97.47 peratus.
"Jumlah takungan ketiga-tiga empangan sebanyak 370,327 hektar mampu untuk memenuhi keperluan sumber air pengairan musim ini," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Menurut kenyataan tersebut, setakat ini status kemajuan aktiviti penyediaan tanah tidak terjejas walaupun jumlah turunan hujan di kawasan Muda bagi tempoh Januari sehingga awal Mei merekodkan bacaan lebih rendah iaitu 343mm berbanding purata turunan hujan 20 tahun iaitu 439mm.
"Bagaimanapun, MADA sentiasa peka dengan perubahan cuaca semasa dan berada dalam keadaan siap siaga sekiranya berlaku keadaan El Nino sepertimana ramalan cuaca dan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.
"MADA akan sentiasa mengutamakan kepentingan aktiviti tanaman padi dan sentiasa memantau pelaksanaan kemajuan aktiviti di peringkat sawah bagi memastikan bekalan air dapat diagihkan dengan sempurna mengikut fasa yang ditetapkan," katanya.
Ujar kenyataan itu lagi, MADA dalam masa sama turut mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang fenomena El Nino dengan memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula bagi menjimatkan air dari empangan dan pengoperasian pam bergerak untuk membekalkan air ke kawasan tanah tinggi dan tanah bermasalah.
"Pesawah juga dinasihatkan supaya mempercepatkan aktiviti dan mematuhi jadual penanaman padi yang telah dikeluarkan," katanya.
Tambah kenyataan berkenaan, pesawah disyorkan untuk menjalankan putaran basah serta aktiviti penanaman mengikut fasa yang telah ditetapkan.
"Kerjasama peladang menguruskan air di peringkat sawah secara berhemah adalah penting bagi memastikan bekalan air dapat diagihkan dengan sempurna dan mengelakkan pembaziran," katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia baru-baru ini menjangka fenomena El Nino akan melanda negara pada bulan ini hingga Julai dengan kebarangkalian 62 peratus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!