Bapa dipenjara 36 tahun, 20 sebatan rogol dua anak

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang bekas operator kren dijatuhi hukuman penjara 36 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Rayuan di sini kerana merogol dua anak perempuannya yang di bawah umur.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Lim Chong Fong membenarkan rayuan lelaki itu untuk mengurangkan hukuman penjara dan sebatan ke atasnya.

Hakim Kamaludin yang mengetuai panel, mengurangkan tempoh penjara kepada 18 tahun dan mengurangkan bilangan sebatan kepada 10 sebatan bagi setiap pertuduhan.

Lelaki berusia 42 tahun itu sebelum ini dijatuhi hukuman 40 tahun penjara dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Segambut di Johor pada 20 Mei, 2020 selepas beliau mengakui bersalah terhadap dua pertuduhan rogol.

Beliau mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan untuk mengurangkan hukuman itu selepas permohonannya ditolak Mahkamah Tinggi Muar pada 24 Disember 2020.

Bapa kepada lima orang anak itu mengaku bersalah merogol anak perempuannya berusia 15 tahun pada pertengahan 2017 dan anak perempuannya berumur 13 tahun pada Januari, 2020.

Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan supaya hukuman itu dijalankan secara berasingan dari tarikh tangkapan 19 Mei, 2020.

Peguam Ameerul Aizat Noor Haslan memohon mahkamah mengurangkan hukuman penjara ke atas anak guamnya itu atas alasan hukuman itu berlebihan. Beliau juga meminta 24 sebatan tersebut dikurangkan.

Timbalan pendakwa raya Fauziah Daud berkata hukuman penjara lelaki itu wajar dijalankan secara berasingan kerana ia melibatkan dua mangsa. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!