Tindakan tegas menanti jika terlibat kes buli - Mohamad

Mohamad bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang beramah mesra dengan tetamu pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia yang diadakan di Wisma Perwira, Kuala Lumpur pada Rabu. - Foto Rosli Talib
Mohamad bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang beramah mesra dengan tetamu pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia yang diadakan di Wisma Perwira, Kuala Lumpur pada Rabu. - Foto Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tindakan tegas termasuk hukuman buang kerja boleh dikenakan terhadap mana-mana anggota atau pelatih tentera terlibat dalam kes buli.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan itu boleh diambil jika terbukti berlaku dan ada anggota yang benar-benar terlibat dan tidak mengendahkan larangan dan terma ketika dalam perkhidmatan.

Menurutnya, siasatan dijalankan secara dalaman oleh pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan juga melibatkan pihak polis.

"Kita akan lihat nanti hasil siasatan kerana tak boleh terus menjurus kepada sesuatu perkara tanpa kita dapat tahu apa sebenar yang berlaku.

"Perkara macam ini kadang-kadang (kes buli) tidak sepatutnya berlaku, sekolah rendah pun ada kes buli, kita harap budaya begini dihentikan.

"Kalau kita di peringkat agensi kementerian memang sentiasa ingatkan anggota kita perkara yang boleh jadi kesalahan dalam tempoh perkhidmatan," katanya pada Majlis Hari Raya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian kepada media ketika mengulas berkenaan lima pelatih kursus TUDM dipukul anggota senior ketika menjalani latihan di Pangkalan Udara Kuantan.

Kejadian terbongkar selepas keluarga salah seorang mangsa tampil membuat laporan polis sebelum ditularkan di Twitter.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai penggunaan logo Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Mohamad berkata, BN sudah memutuskan untuk menggunakan lambang dacing di enam negeri yang terlibat.

"Apa yang kita sedang pertimbangkan ada rakan sekutu yang hendak gunakan lambang BN di negeri tertentu sebagai strategi untuk berikan impak lebih baik.

"Tetapi untuk BN, kita akan guna lambang sendiri dan kempen atas pentas sendiri untuk jadikan PRN kali ini sebagai petunjuk sama ada pengundi sokong atau tidak BN sebelum memuktamadkan langkah-langkah yang perlu dibuat untuk menghadapi PRU16," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN walau bagaimanapun enggan menamakan mana-mana parti yang ingin menggunakan logo BN pada PRN di enam negeri terlibat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!