Felda Jengka 24 raikan pekerja ladang sambut Aidilfitri

Razak menyampaikan sumbangan duit raya untuk kanak-kanak sempena sambutan tersebut di Dewan Mat Kilau, Jengka 24 pada Rabu
Razak menyampaikan sumbangan duit raya untuk kanak-kanak sempena sambutan tersebut di Dewan Mat Kilau, Jengka 24 pada Rabu
A
A
A

JENGKA - Kira-kira 30 pekerja ladang warga tempatan dan asing di Felda Jengka 24 di sini antara yang turut diraikan dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Rancangan di sini pada Rabu.

Majlis yang berlangsung dengan meriah di Dewan Mat Kilau itu turut dihadiri 3,000 penduduk setempat terdiri daripada peneroka, kakitangan dan pelbagai agensi kerajaan.

Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud, 60, berkata, tahun ini mereka turut menjemput pekerja-pekerja ladang yang telah banyak membantu peneroka sebagai tanda penghargaan terhadap golongan tersebut.

Antara sebahagian pekerja ladang yang turut diraikan dalam sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Rancangan pada Rabu.
Antara sebahagian pekerja ladang yang turut diraikan dalam sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Rancangan pada Rabu.

"Kita tidak meminggirkan mereka supaya dapat menikmati suasana Aidilfitri seperti orang lain khususnya pekerja asing untuk turut sama meraikan perayaan ini bersama penduduk tempatan," katanya yang turut memaklumkan terdapat kira-kira 50 pekerja ladang di rancangan tersebut setakat ini.

Dalam sambutan itu, sebanyak 14 blok mengadakan gotong-royong menyediakan 12 menu istimewa antaranya lemang, kambing golek,rendang,mi kari,laksa dan apam balik.

"Setiap blok menyumbangkan satu menu dengan sumbangan wang tunai oleh penduduk sendiri selain sumbangan pihak pengurusan.

Razak menyantuni sebahagian tetamu yang hadir dalam sambutan tersebut
Razak menyantuni sebahagian tetamu yang hadir dalam sambutan tersebut

"Syukur majlis berjalan lancar dan meriah pada majlis yang diadakan secara tahunan di sini sempena Aidilfitri," jelasnya.

Bagi seorang pekerja ladang, Mohd Hafizi Che Bakar, 38, berkata, dia gembira kerana berpeluang untuk merasai pelbagai menu menarik sempena sambutan tersebut.

"Seronok dapat bawa anak sekali merasai sambutan hari raya di sini selain dapat bersama penduduk tempatan," katanya sudah 10 tahun bekerja dalam sektor tersebut.

Perasaan sama turut dikongsi rakannya, Saiful Azli Tahir, 37, yang turut merasa dihargai dalam sambutan tersebut.

Selain menjamu selera, penyerahan hadiah turut diadakan untuk pertandingan blok keceriaan yang dirangkul Blok 9 selaku juara diikuti Blok 4 (naib juara) dan tempat ketiga oleh Blok 3 serta sumbangan duit raya untuk kanak-kanak dan remaja.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!