Kastam rampas 265 basikal elektrik seludup dari China

Norlela (dua dari kiri) melihat empat basikal elektrik yang diseludup dari negara China selepas sidang media di Pejabat JKDM Melaka di Ayer Keroh pada Rabu.
Norlela (dua dari kiri) melihat empat basikal elektrik yang diseludup dari negara China selepas sidang media di Pejabat JKDM Melaka di Ayer Keroh pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 264 unit basikal elektrik (e-bike) yang diseludup masuk ke negara ini bernilai RM742,479 termasuk cukai dalam serbuan di sebuah syarikat di Kawasan Perindustrian Tasik Utama, Ayer Keroh.

Pengarah Kastam Negeri, Norlela Ismail berkata, kesemua basikal itu dipercayai dibawa masuk melalui Pelabuhan Klang tanpa lesen import yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menurutnya, syarikat yang telah lebih lima tahun beroperasi itu cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan mengikrar barangan berkenaan sebagai alat ganti basikal.

"Kita membuat risikan selama enam bulan sebelum sepasukan anggota bahagian penguatkuasaan JKDM Melaka melakukan serbuan pada Februari lalu dan turut menahan pemilik syarikat berusia 60-an.

"Barang kes yang disita sebenarnya tertakluk kepada lesen import yang dikeluarkan MITI. Dagangan ini telah diimport dengan diikrar sebagai alat ganti basikal, namun sebenarnya ia adalah basikal elektrik yang lengkap dan tertakluk kepada lesen import dan duti import," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang akhbar di Pejabat JKDM Melaka di Ayer Keroh di sini, pada Rabu.

Jelas beliau, sindiket penyeludupan basikal yang diimport dari negara China itu pertama kali dilaporkan di negeri ini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 yang boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi tempoh tujuh tahun atau kedua-duanya," katanya lagi.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya turut menumpaskan tiga lagi kegiatan penyeludupan dalam tempoh enam bulan yang melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM6.5 juta.

Ujar beliau, ia termasuk rampasan 405,600 tin minuman keras, 3.2 juta batang rokok putih serta 90 unit topi keledar motosikal yang tidak memenuhi standard yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan selain dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!