Tiga lelaki ditahan curi kabel TM
ALOR SETAR - Tiga lelaki tempatan ditahan ketika sedang mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) di hadapan Kolej Sultan Abdul Hamid di sini pada awal pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mereka ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada jam 3.30 pagi.
Menurutnya, ketika ditahan ketiga-tiga mereka yang berusia antara 26 hingga 44 tahun sedang menarik kabel tersebut dari dalam sebuah lubang di bawah jambatan hadapan kolej berkenaan.
"Pihak polis turut merampas sebuah lori yang digunakan ketika kejadian," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek direman selama empat hari bermula Rabu sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan 431A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!