Mangsa diheret buaya ke dalam sungai - Saksi

Operasi SAR mangsa dibaham buaya oleh pasukan bomba dan agensi lain dilakukan di sekitar Sungai Rawog, Beluran.
Operasi SAR mangsa dibaham buaya oleh pasukan bomba dan agensi lain dilakukan di sekitar Sungai Rawog, Beluran.
A
A
A

BELURAN - Seorang pekerja ladang hilang selepas dibaham buaya dalam kejadian di Sungai Rawog, Ladang Linbar 2, di sini pada Selasa.

Mangsa, Rudi Amiruddin, 28, dilaporkan hilang pada kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika sedang membersihkan diri di sungai berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu daripada polis pada jam 3.51 petang.

"Menurut laporan, saksi yang memaklumkan sebelum kejadian mangsa sedang membersihkan kawasan pagar elektrik di dalam kawasan estet yang bersempadan dengan sungai terbabit.

"Ketika berehat, mangsa pergi ke tepi sungai untuk mencuci tangan dan kakinya namun tiba-tiba seekor buaya muncul dan mengheret mangsa ke dalam sungai.

"Mangsa sempat menjerit meminta tolong namun tidak dapat dibantu oleh rakannya yang berada di lokasi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Susulan kejadian itu, sebaik laporan diterima seramai empat anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 70 kilometer dari BBP Beluran.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama pasukan keselamatan lain segera dilakukan namun mangsa gagal ditemui semalam.

"SAR hari kedua disambung semula dengan jarak radius satu kilometer di sekitar lokasi, namun sehingga kini pihak kami belum menemui mangsa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!