Sukan SEA: Sistem pemarkahan saingan wushu tidak berfungsi

Atlet Wushu negara Calvin Lee Wai Leong ketika beraksi dalam acara Nanquan lelaki akhir pada Sukan SEA 2023 pada Rabu. - Foto: Bernama
Atlet Wushu negara Calvin Lee Wai Leong ketika beraksi dalam acara Nanquan lelaki akhir pada Sukan SEA 2023 pada Rabu. - Foto: Bernama
A
A
A

PHNOM PENH - Masalah teknikal melibatkan sistem pemarkahan sehingga menjejaskan perjalanan final, mencemari hari pertama saingan wushu Sukan SEA 2023 di Pusat Konvensyen Chroy Changvar di sini, hari ini.

Berdasarkan pemerhatian Bernama, sistem pemarkahan di venue pertandingan gagal berfungsi sekali gus memberi kesukaran kepada juri dalam memuktamadkan markah para atlet bertanding dan mengheret setiap acara bermula lewat.

Lebih parah, permasalahan itu menyaksikan barisan juri terpaksa mengambil masa yang lama untuk memuktamadkan markah apabila terpaksa mengira secara manual, menyebabkan para atlet menunggu lama untuk memulakan acara.

"Situasi ini jelas menjejaskan tumpuan atlet yang sudah bersedia untuk memulakan acara terpaksa menunggu lama dan menjadi lesu apabila menunggu sehingga berjam-jam.

"Mereka juga sedang kelaparan kerana belum makan, sepatutnya pertandingan Taolu boleh habis lebih awal dan Sanda akan bermula jam 3, tetapi disebabkan ini Sanda terpaksa dianjak ke jam 7.30 malam,” kata seorang pegawai kontinjen yang bertanding ketika ditemui Bernama di sini.

Menurut beliau, sistem pemarkahan itu bukan yang biasa digunakan bagi sukan wushu di mana-mana pertandingan antarabangsa.

Pada masa sama, beliau memaklumkan pingat bagi upacara penyampaian pingat wushu juga tidak mencukupi.

Sebelum ini, Bernama melaporkan wushu berdepan kemungkinan dibatalkan susulan masalah teknikal di venue pertandingan melibatkan sistem pemarkahan dan platform ataupun "leitai” bagi disiplin Sanda yang gagal diselesaikan berbaki lima hari sebelum tirai saingan dibuka.

Situasi itu memaksa Presiden Persekutuan Wushu Malaysia, Datuk Chong Kim Fatt yang juga exco Persekutuan Wushu Asia meminta pertolongan daripada Persekutuan Wushu Vietnam untuk meminjamkan platform Sanda dalam usaha memastikan atlet kebangsaan tidak kempunan untuk membuat penampilan di bumi Kemboja.

Sebagai rekod, juara dunia 2019 Tan Cheong Min menghadiahkan emas sulung buat kem wushu negara hari ini selepas mengungguli final Nanquan wanita yang berlangsung pada sebelah pagi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!