Jadi duta hapus denggi
TAIPING - Seramai 40 murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Taiping bertindak menjadi duta remaja bagi kempen menghapuskan denggi apabila menyertai Skuad Patrol Denggi sekolah itu yang dilancarkan 1 April lalu.
Setiausaha Program Skuad Patrol Denggi SMK Convent Taiping, Zainab Abd Rahman berkata, kesemua peserta skuad terdiri pelajar Tingkatan 3 dan 4 menyahut inisiatif Jabatan Pendidikan Perak menganjurkan kempen menangani wabak denggi melalui pertandingan Patrol Denggi peringkat negeri.
Menurutnya, pendekatan proaktif ini bertujuan membentuk pelajar sebagai agen perubahan yang mampu membantu menyedarkan masyarakat mengenai bahaya nyamuk Aedes dan denggi.
“Justeru, hampir 30 aktiviti dirancang Skuad Patrol Denggi SMK Convent Taiping antaranya program gotong-royong bersama komuniti, edaran risalah mengenai denggi, penyebaran maklumat di media sosial dan pameran kempen menangani wabak denggi.
“Selain itu, program itu bertujuan memberi pendidikan mengenai bahaya denggi dan cara menanganinya bukan sahaja kepada pelajar bahkan guru, ibu bapa dan masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Zainab berkata, pihaknya berharap program Skuad Patrol Denggi SMK Convent Taiping yang sedang giat dipromosi sama ada dalam media sosial mahupun media massa ketika ini, mendapat sokongan padu masyarakat setempat.
Menurutnya, pihaknya bersyukur pelancaran skuad itu disokong sepenuhnya Pengetua SMK Convent Taiping, Saharidah Sahaban, penolong-penolong kanan, warga guru sekolah itu, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.
“Pihak sekolah ingin mengajak masyarakat untuk membantu mempromosi kempen kami dalam bentuk ‘Like’ dalam laman sosial, khidmat komuniti, seni persembahan dan kuiz.
“Saya menyeru rakyat negara ini terutama penduduk daerah Larut, Matang dan Selama membantu mengikuti laman Facebook kami atas akaun SMK Convent Taiping Dengue Patrol selain platform Instagram, Youtube dan dan blog kami,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!