Adiwira muncul di majlis kahwin
KOTA BHARU - Kemunculan sekumpulan adiwira terdiri daripada Power Rangers, Kamen Rider, Ultraman dan Star Wars di Majlis Sambut Menantu satu pasangan mempelai yang berlangsung di Dewan Budaya Datuk Zul Wisma di Kampung Seterpa, Peringat semalam nyata menggamatkan suasana.
Pengantin lelaki, Zul Azlan Zulkepli, 26, dan pasangannya, Nur Wahida Ahmad Razali, 27, diraikan dalam suasana cukup meriah dan semakin bertambah meriah dengan kejutan kehadiran watak super hero yang dilakukan oleh rakan-rakan abang kepada pengantin lelaki itu, Zul Azreen bin Zulkepli, 32.
Zul Azlan berkata, dia mengetahui berhubung idea memunculkan tujuh watak kartun itu kerana abang sulungnya itu (Zul Azreen) adalah anggota Geng Costley Kelate yang menjalankan kegiatan kebajikan mengumpul derma kepada golongan asnaf melalui persembahan jalanan dengan memakai kostum watak berkenaan.
“Cuma saya tidak tahu mereka melakukan gimik persembahan dan turut sama memotong kek ketika acara itu berlangsung semalam.
"Saya sendiri terkejut, tetapi sangat gembira apabila majlis ini bertambah meriah kerana tetamu yang hadir sangat terhibur dengan kemuculan mereka.
“Ramai yang tidak melepaskan peluang bergambar mesra terutama dengan Kamen Rider Faiz kerana ketika majlisnya dulu, abang saya mengenakan kostum Spiderman untuk menghiburkan pengunjung dan kali ini sebagai tanda terima kasih, mereka hiburkan tetamu saya secara percuma,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, tujuh adiwira itu adalah rakan mereka yang berusia 30 hingga 40 tahun termasuk seorang wanita yang memakai kostum dinosour mula muncul di majlis itu pada jam 5 petang dan ketika itu tetamu masih ramai sedang menjamu selera.
Anak tiga daripada 12 beradik itu mula berkenalan dengan pasangannya yang berasal dari Jengka, Pahang itu ketika belajar di Universiti Teknologi Mara Machang sejak enam tahun lalu dan mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Mereka diijabkabulkan dalam satu majlis di Pahang pada 23 Mac lalu dan Zul Azlan adalah anak kepada Pengerusi Eksekutif Wisma Akauntan Zulkepli, Datuk Dr Zulkepli Mohammad atau lebih dikenali dengan Datuk Zul Wisma.
Kisah keluarga ini pernah tular apabila empat adik Zul Azlan yang kembar berlainan ibu iaitu Juliana Aziera Zulkepli, Ayu Shaheera, Zul Azril dan Zul Azrul kesemuanya berusia 21 tahun menerima Diploma Perakaunan secara serentak pada Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (Uitm) ke-89 cawangan Kelantan di Machang, tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!