KPKM lantik pengerusi baharu lima badan berkanun

Mohamad Sabu (tiga dari kanan) bersama lima pengerusi baharu bagi lima badan berkanun di bawah KPKM.
Mohamad Sabu (tiga dari kanan) bersama lima pengerusi baharu bagi lima badan berkanun di bawah KPKM.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada Rabu mengumumkan pelantikan pengerusi baharu bagi lima badan berkanun di bawah kementerian itu, berkuat kuasa 15 Mei ini.

Mereka ialah Muhammad Faiz Fadzil sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM); Datuk Mahfuz Omar sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP); Aminuddin Zulkipli sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA); Dr Azman Ismail sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI); dan Sheikh Umar Bagharid Ali sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam satu kenyataan berkata, pelantikan tersebut adalah berdasarkan pengalaman luas mereka dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan, pentadbiran dan perkhidmatan.

"Saya yakin dengan pengetahuan, kredibiliti dan pengalaman yang dimiliki oleh mereka dalam menerajui dan menggalas amanah serta tanggungjawab dalam menyokong dan memastikan pembaharuan selari dengan aspirasi Malaysia Madani," katanya.

Pelantikan itu, katanya, dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!