FamilyMart Malaysia henti jual minuman alkohol
Pengarah Urusan QL Maxincome Sdn Bhd, Chia Lik Khai berkata, usaha berkenaan dilaksanakan sejak Mac lepas dalam memastikan pelanggan berbelanja dan menjamu selera tanpa was-was di premis mereka.
"Minuman alkohol adalah penyumbang kecil dalam perniagaan kami setakat ini. Jadi, kami menjangkakan kesannya adalah amat minimum dan kami menumpukan perbelanjaan kepada makanan dan minuman untuk menampung jualan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengumuman produk FamilyMart Malaysia iaitu FamiCafé di Menara U, di sini yang mendapat pensijilan halal pertama oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), menjadikan kafe kedai serbaneka pertama di Malaysia menerima pengiktirafan itu.
Chia berkata konsep yang disahkan halal ini menyajikan minuman dan makanan yang sedia untuk dimakan termasuk oden, snek panas seperti chiki katsu rangup dan sosej (corndog), serta sofuto.
Katanya, sehingga kini terdapat 16 FamiCafé di Malaysia, dengan sasaran untuk membuka 50 FamiCafé menjelang akhir tahun ini selain menyasarkan status halal untuk 300 FamiCafé menjelang 2025.
Selari dengan usaha berterusan dalam memastikan para pelanggan berbelanja dan menjamu selera tanpa was-was, Chia berkata FamilyMart akan menjalani audit halal secara berperingkat mengikut panduan Jakim dan prosesnya telah bermula di dua kedai lain yang terletak di sekitar Lembah Klang.
Selain itu katanya, pusat penyediaan makanan FamilyMart Malaysia yang dikendalikan oleh QL Kitchen telah diiktiraf halal oleh Jakim sejak 2019 dan setakat 30 April lepas, 172 produk makanan jenama FamilyMart didaftarkan halal di portal halal rasmi Jakim.
Dalam pada Chia berkata, FamilyMart kini sedang mengenal pasti lokasi bersesuaian untuk memenuhi permintaan pelanggan di pantai timur Semenanjung dan menyasarkan 20 cawangan akan dibuka menjelang akhir 2023 di kawasan itu dengan beberapa cawangan sudah dibuka di Kuantan, Pahang.
Dalam pada itu, bagi berterusan menambah keselesaan pelanggan, FamiCafé FamilyMart di Menara U kini mempunyai kios layan diri yang membolehkan pelanggan memesan produk menggunakan servis e-dompet atau kad kredit kegemaran masing-masing dengan kios layan diri akan diperkenal di FamiCafé yang lain secara beransur-ansur.
QL Maxincome Sdn Bhd merupakan pemegang francais kafe kedai serbaneka FamilyMart Malaysia.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!