'Bukan mudah, tapi rakyat nampak keikhlasan kami' - Saifuddin

Saifuddin Nasution - Foto fail Bernama
Saifuddin Nasution - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui bukan satu perkara yang mudah untuk menguruskan sebuah gabungan besar, apatah lagi melibatkan 19 parti politik.

Menurutnya, memandangkan ini adalah kali pertama gabungan besar yang dibentuk, ramai peramal dan penganalisis politik tampil dengan pelbagai teori mengenai nasib gabungan itu.

Namun katanya, keikhlasan Kerajaan Perpaduan sehingga membawa kepada kestabilan politik telah membuatkan gabungan itu diterima rakyat.

“Daripada sudut sejarah politik negara, belum pernah berlaku sebuah gabungan yang merangkumi 19 parti politik berdaftar dan membentuk Kerajaan Perpaduan. Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri pertama) mula mengumpulkan tiga parti politik mewakili etnik terbesar untuk mengangkat sebuah kemerdekaan.

“Tun Abdul Razak (Perdana Menteri kedua) kemudiannya memulakan Barisan Nasional dengan memasukkan Pas ikut serta. Pimpinan selepas itu belum pernah lagi mengusahakan sebuah kerajaan besar sebegini.

“Benar, ia bukan mudah. Apa yang jelas adalah, memasuki enam bulan kerajaan ini, ia benar-benar dapat mewujudkan sebuah kestabilan politik. Ini satu perkara besar yang membezakan Kerajaan Perpaduan sekarang dengan dua kerajaan sebelum ini yang singkat usianya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Agenda Awani yang bertajuk Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan, Apa Yang Ingin Dicapai? pada Rabu yang turut menampilkan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menjelaskan, rakyat Malaysia sudah penat dan letih dengan ‘drama’ politik.

“Sekarang ini, mereka nampak keikhlasan Kerajaan Perpaduan setelah kami mulakan kerajaan dengan gabungan 19 parti politik. Rakyat juga nampak bagaimana kami bersungguh-sungguh untuk memulihkan ekonomi.

“Ketiganya, rukun dalam setiap usaha yang dilakukan kepimpinan khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim. Penekanan kita terhadap prinsip tata kelola dan tadbir urus yang baik sebagai rukun yang membezakan kerajaan ini dengan kerajaan terdahulu,” katanya.

Tambah Saifuddin, perpaduan dalam maksud hakiki adalah berpadu atas kalimah syahadah.

“Kita mengucap syahadah, kita telah pun bersatu atas satu akidah. Tapi bagi yang bukan beragama Islam, kita berpakat dan berpadu atas prinsip menjaga dan memelihara kepentingan bersama.

“Inilah yang kami buktikan dalam tempoh enam bulan dan saya yakin untuk satu tempoh yang lebih panjang,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!