Hamzah hairan nama dikaitkan kes rasuah projek di bawah KDN
SHAH ALAM - Bekas Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berasa hairan apabila namanya dikaitkan dalam kes rasuah membabitkan projek-projek di bawah KDN walaupun tiada langsung pembabitannya.
Ia susulan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengenakan empat pertuduhan rasuah terhadap seorang individu bernama Datuk Seri Sim Choo Thiam.
Menurutnya, pertuduhan tersebut ada menyebutkan bahawa ia membabitkan projek-projek di bawah KDN semasa beliau menjadi Menteri Dalam Negeri.
"Itulah yang janggal dan menghairankan kenapa nama saya disebut sedangkan saya tiada pembabitan langsung.
"Bila diperhalusi keempat-empat pertuduhan tersebut, ia menyebut bahawa suapan adalah untuk mendapatkan apa-apa projek milik agensi-agensi di bawah KDN. Jadi, apakah projek yang menjadi hal perkara rasuah yang dimaksudkan?.
"Jelas pertuduhan sebegitu sengaja diada-adakan dan dibuat sebegitu rupa untuk mengheret nama saya dalam perkara yang tidak langsung membabitkan saya.
"Ini siri fitnah untuk menekan orang-orang serta ahli perniagaan tertentu supaya memalitkan dan menuding jari demi mencemarkan nama saya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah Ahli Parlimen Larut itu, lebih janggal apabila keterangannya hanya dirakam pada petang Rabu, bermula kira-kira jam 4.30 petang hingga 7 malam oleh pegawai SPRM selepas pertuduhan ke atas Choo Thiam telah dibawa ke mahkamah.
Jelasnya, pertuduhan itu jelas bertujuan untuk merosakkan nama baiknya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN).
"Lebih-lebih lagi Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) merangkap Presiden UMNO sendiri sebelum ini secara terbuka menyebut rancangan untuk mewujudkan kluster mahkamah daripada kalangan pemimpin Bersatu dan PN.
"Saya percaya, ini kerana mereka bimbang dengan kekuatan PN, yang mana sokongan rakyat akan diterjemahkan sekali lagi dalam pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.
"Saya juga faham ada pihak tertentu yang panik dengan kedudukannya yang sedang goyah ketika ini tetapi janganlah bertindak sehingga menyebabkan rakyat merasakan SPRM boleh diperalat oleh pemimpin tertentu," jelasnya.
Pada Rabu, seorang pengarah syarikat bergelar Datuk Seri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15 juta bagi mendapatkan projek milik agensi di bawah KDN pada Jun dan Julai tahun lalu.
Sim Choo Thiam, 54, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!