Malaysia belajar ilmu bola sepak Qatar

Hamidin dan Sheikh Hamad Khalifa bertukar dokumen selepas majlis di Doha, Qatar pada Rabu.
Hamidin dan Sheikh Hamad Khalifa bertukar dokumen selepas majlis di Doha, Qatar pada Rabu.
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bolasepak Qatar (QFA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang bertujuan mempergiat kerjasama bola sepak dan mengeratkan hubungan dua negara.

MoU berkenaan ditandatangani di antara Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dengan Presiden QFA, Sheikh Hamad Khalifa Ahmed Al Thani di pejabatnya di Al-Bidda Tower, Doha, Qatar pada Rabu.

Turut hadir Setiausaha Agung QFA Mansour al-Ansari dan Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman.

Menurut FAM, MoU selama setahun itu akan diperbaharui secara automatik setiap setahun dengan tempoh perjanjian tidak lebih lima tahun.

Katanya, ia meliputi kerjasama dalam enam bidang iaitu pendidikan kejurulatihan, pembangunan pengadil, bola sepak wanita, perlawanan persahabatan, kem untuk pasukan kebangsaan belia, struktur dan operasi perlawanan belia serta pembangunan futsal

"Sebagai permulaan, skuad Bawah 17 tahun negara (B-17) telah menjalani kem latihan di Akademi Aspire Qatar dan enam perlawanan persahabatan baru-baru ini sebagai persediaan untuk mengharungi aksi Piala Asia B-17 2023 yang bakal berlangsung di Thailand, bulan depan," katanya.

Sementara itu, Hamidin berkata, “Akademi Aspire ini sememangnya mempunyai kelengkapan latihan, perubatan dan kemudahan moden yang lengkap dan terkini. Sudah tentu kerjasama ini bakal memberi manfaat kepada pembangunan bola sepak kita.

“Dalam perjanjian ini kedua-dua pihak bersetuju bekerjasama dalam membina hubungan yang erat antara persatuan

masing-masing demi manfaat bersama juga promosi, pertumbuhan dan kejayaan bola sepak antara dua negara.

“Ini juga bagi melindungi nilai dan tradisi sukan ini memandangkan bola sepak bukan sahaja untuk aktiviti ekonomi, tetapi ia juga instrumen sosial dalam persefahaman antarabangsa."

Dalam pada itu, Hamidin juga menghadiri mesyuarat pertama jawatankuasa pengelola Piala Asia 2023 dan mesyuarat jawatankuasa Exco AFC di Doha, yang turut dihadiri Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!