Ibu bapa abai anak-anak boleh dipenjara!
KISAH seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang memandu kereta milik ayahnya sebelum terbabas melanggar tiang lampu pada malam Selasa sungguh mengejutkan.
Melalui video yang tular, ternyata orang ramai yang menghulurkan bantuan tidak percaya kanak-kanak berkenaan memandu kereta itu sejauh 2.5 kilometer sambil ditemani adik lelakinya berusia tiga tahun yang duduk di kerusi pemandu hadapan.
Terdapat juga satu lagi rakaman video yang tular, memperlihatkan kenderaan itu umpama dipandu oleh seorang pemabuk ataupun pemandunya mengantuk berdasarkan pemanduan yang berbahaya sebelum identiti pemandu itu terbongkar.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari memaklumkan, kereta itu dipandu dari rumahnya tanpa pengetahuan ibu bapa sebelum hilang kawalan serta terbabas masuk ke tepi jalan di Jalan Bukit Tangga, Langkawi, kira-kira jam 11.15 malam.
Polis memberitahu bapanya ketika itu sedang tidur di dalam bilik manakala ibunya berada di dalam bilik air.
Kemalangan itu menyebabkan si abang mengalami kecederaan di dagu manakala adiknya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kejadian itu ternyata menimbulkan 1,001 pertanyaan, adakah ibu bapa kepada dua kanak-kanak itu langsung tidak menyedari tingkah laku kedua anaknya memandangkan ketika kejadian, hampir memasuki lewat malam.
Dan adakah ibu bapa kanak-kanak itu sering mengabaikan atau kanak-kanak itu merupakan seorang yang terlalu lasak?
Berbicara soal mengabaikan, adakah ibu bapa muda hari ini peka bahawa gagal mengawasi anak atau remaja bawah umur hingga menyebabkan mereka terlibat dengan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang boleh dikenakan hukuman penjara atau denda maksimum RM20,000?
Sinar Harian pada 10 Mei tahun lalu pernah memberi peringatan bahawa kegagalan atau pengabaian tersebut merupakan kesalahan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum sepuluh tahun, atau kedua-duanya.
Ia rentetan daripada kejadian dua orang pekerja pemotong rumput maut, manakala rakannya parah akibat dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu remaja berusia 16 tahun di Kedah.
Malah sebelum itu juga, pada bulan yang sama tular video yang memaparkan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun memandu sebuah kereta Perodua Kancil berwarna merah. Kanak-kanak lelaki itu 'diberi' lesen memandu oleh ibu bapanya dan ibunya sendiri yang menularkan rakaman video berkenaan.
Secara semula jadi, ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk membesarkan dan memastikan anak-anak mereka dalam keadaan selamat, namun adakah mereka sedar tentang dasar-dasar kerajaan yang wujud berhubung penjagaan kanak-kanak serta hak anak-anak mereka?
Sebagai ibu bapa yang mempunyai kawalan ke atas anak seperti termaktub di bawah Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611), mereka seharusnya peka dengan peruntukan undang-undang berkenaan.
Ibu bapa perlu sedar bahawa mengasuh dan mendidik anak pada masa ini sudah tentu berbeza daripada zaman dahulu yang mana kurang cabarannya.
Pada peringkat usia kanak-kanak di bawah enam tahun pada zaman ini, mereka mempunyai sifat untuk mengetahui dan meneroka tanpa tahu kesan dan akibat.
Bahkan tindakan anak-anak sukar dijangka merupakan cabaran utama ibu bapa yang memaksa kita lebih peka terhadap mereka.
Jadi ibu bapa jangan pernah leka, ambil cakna dengan situasi dan tingkah laku anak-anak pada hari ini.
Tidak terhad kepada ibu bapa, masyarakat sekeliling juga perlu memainkan peranan bersama-sama menjamin serta memelihara modal insan pelapis negara di masa hadapan.
Sebelum ini juga sudah banyak insiden seakan seperti itu yang turut menggemparkan negara antaranya kes basikal lajak di Johor yang mengorbankan enam nyawa enam tahun yang lalu.
Termasuk juga kejadian remaja ditembak polis 13 tahun lalu.
Insiden menyayat hati ini memperlihatkan anak-anak tidak sepatutnya berada di jalanan tanpa kawalan pada lewat malam dan jangan pula kes seumpama itu berulang kembali pada tahun ini.
Paling penting, jangan pula salahkan pihak berkuasa jika ada ibu bapa cuai diheret ke mahkamah kelak.
* Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan ialah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!