Kes kekerasan terhadap warga KKM, pakar gesa tambah saluran aduan
SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa untuk menambah saluran aduan berhubung isu kekerasan terhadap warga KKM yang menjadi kebimbangan pada masa kini.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Epidemiologist, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, perkara itu penting supaya ia mudah digunakan oleh mangsa, keluarga atau jiran.
"Pihak berkuasa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu meningkatkan kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat terutama pasangan dan ahli keluarga.
"Ia juga perlu disusuli dengan penambahan sesi kaunseling," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Dalam pada itu, Zainal Ariffin menjelaskan kekerasan yang diterima warga KKM meliputi penderaan mental dan fizikal serta pengabaian nafkah dan tanggungjawab.
Pada Rabu, media tempatan melaporkan, statistik kes kekerasan terhadap warga KKM mencatatkan peningkatan terutama ketika negara berdepan ancaman pandemik Covid-19 pada tahun 2020 dan 2021.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, sebanyak 321 kes dilaporkan pada tahun 2020 manakala 260 kes lagi direkodkan pada 2021.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!