Hospitalku, syurgaku - Jururawat
KOTA BHARU - “Hospitalku, syurgaku.” Itu kata seorang jururawat yang menggambarkan khidmat bakti sepenuh jiwa dan raga dicurahkan sepanjang lebih 20 tahun merawat pesakit hingga kerap kali terabaikan keluarga sendiri.
Wanita besi itu, Azlina Rasid, 41, berkata, dia menghabiskan lebih banyak masa dalam sehari di institusi itu kerana perlu melaksanakan tugas yang diamanahkan sekali gus rumah sendiri pula jatuh nombor dua seperti persinggahan hotel.
Menurut Azlina yang berpengkhususan pembedahan ortopedik itu, lima anak-anaknya yang berusia tiga sehingga 18 tahun pula akan berasa pelik sekiranya ibu mereka berada lebih sejam di rumah tanpa keluar bekerja di hospital.
“Kalau mereka nampak saya dalam rumah lama sikit, mereka akan tanya, “Ibu tak pergi kerjakah?”
“Pernah di tempat kerja lama sebelum ini, bekerja dua hari berturut-turut. Tidur sejam saja, saya diminta rehat oleh ketua namun demi memastikan pesakit yang dibedah berada dalam keadaan betul-betul selamat tanpa sebarang komplikasi berkaitan vaskular, saya terus berkhidmat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di KPJ Perdana Specialist Hospital di sini pada Rabu.
Dia memberitahu, pernah satu ketika menempuh ujian yang amat hebat dalam alam rumah tangga kerana bebanan tugas sebagai seorang jururawat tidak mudah untuk difahami oleh pasangan sendiri atau kalangan orang biasa.
“Kerja jururawat untuk menyelamatkan dan merawat pesakit akan dilakukan tanpa mengira waktu.
“Sememangnya penugasan ada jadual dan syif tetapi jururawat juga perlu laksanakan tugas on call,” katanya.
Menurut dia, akibat komitmen kerja yang amat mencabar dan kerap meninggalkan rumah itu, kesemua anaknya pandai berdikari dengan sulung lelaki mampu menguruskan adik-adiknya dan memasak nasi seawal usia di tingkatan satu.
“Ibu mereka pula leka ‘bermain’ darah, gunting dan organ manusia.
“Kadangkala saya cuba juga meluangkan waktu dengan keluarga dan menahan penat bekerja walau pun pulang bertugas pada lewat malam,” katanya.
Bagi Azlina, dunia jururawat menjadikannya seorang manusia yang lebih baik dari hari ke hari dan dapat meningkatkan nilai dalam diri apabila dapat membantu orang lain dalam kesusahan.
“Ketika merawat pesakit, saya anggap merawat diri dan keluarga sendiri. Kalau nyawa pesakit di hujung tanduk, jururawat juga akan berasakan perkara yang sama.
“Di sebalik keteguhan dan ketabahan jururawat juga seorang ibu itu, ada suami yang amat penyabar serta amat bertolak-ansur hingga dia mampu meneruskan baktinya kepada masyarakat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!