PSI-Pulau B dibatalkan, Pulau Silikon dikecilkan 49 peratus
GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan pembatalan bagi Pulau B dalam Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI) seperti mana yang diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Mei lalu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, selain Pulau B, keluasan Pulau A yang dinamakan sebagai Pulau Silikon turut dikecilkan iaitu daripada 1,821 hektar kepada 930.8 hektar.
Menurutnya, pengurangan keluasan itu melibatkan 49 peratus daripada keseluruhan tiga pulau kepada satu buah pulau sahaja.
Kon Yeow berkata, Pulau C yang berkeluasan 323.7 hektar turut dibatalkan.
"Pulau Silikon iaitu Pulau A akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan keseluruhan membabitkan tempoh 10 hingga 15 tahun untuk kerja-kerja tambakan. Pengurangan saiz asal bermaksud pengurangan skala projek sebanyak 49 peratus iaitu daripada tiga buah pulau kepada sebuah pulau sahaja.
"Pulau Silikon akan kekal sebagai tapak depoh bagi Transit Aliran Ringan (LRT) dengan keluasan 24.3 hektar. Komponen Taman Teknologi Hijau (GTP) dan 'Heart of the Island' (HOTI) di Pulau Silikon masing-masing akan menjadi pemangkin ekonomi dan produk pelancongan baharu bagi Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, Komtar di sini pada Khamis.
Sabtu lalu, Anwar mengarahkan supaya Projek PSI dikaji semula dan memperkecilkan skopnya.
Arahan itu dibuat selepas Kerajaan Persekutuan mendengar keluhan mengenai projek tambakan laut tersebut selain mendapati Kerajaan Persekutuan dalam beberapa tahun kebelakangan ini tidak memberi dana yang cukup terutama dalam pembangunan infrastruktur yang mendesak untuk Pulau Pinang.
Tambah Kon Yeow, dengan pengurangan skop itu, hanya 115 nelayan dari unit Permatang Tepi Laut terlibat dengan tapak tambakan Pulau Silikon berbanding 496 orang (dari empat unit nelayan) sebelum ini.
"Hanya satu unit nelayan terlibat berbanding tiga unit sebelum ini. Fasa pertama Pulau Silikon berkeluasan 526.1 hektar (termasuk tapak depoh LRT) dijangka mengambil masa tujuh hingga 10 tahun untuk disiapkan. Ia hampir tidak akan memberi sebarang kesan kepada golongan nelayan yang keluar ke laut.
"Fasa kedua Pulau Silikon pula merangkumi keluasan 404.7 hektar. Secara keseluruhan, jangka masa pembangunan Pulau Silikon termasuk bahagian 'topside' adalah selama 20 tahun," katanya.
Ujar beliau, dengan perkembangan terbaru ini, Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) untuk golongan nelayan terlibat akan dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Jawatankuasa Taskforce Nelayan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, menurut Pengarah Projek SRS Konsortium, Szeto Wai Loong, model untuk Pulau Silikon adalah untuk mencipta tapak tanah yang akan dilelong kepada pembida tertinggi.
"Pembida yang berjaya akan membangunkan tapak tanah.
"Kos untuk menebus semula pulau itu ialah kira-kira RM6 bilion manakala kos membina infrastruktur dan kemudahan bersama di pulau itu pula kira-kira RM2.5 bilion," katanya.
April lalu, Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi Projek PSI telah diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk ketiga-tiga pulau, berasaskan 71 syarat ditetapkan termasuk keperluan meneruskan pelaksanaan Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) projek berkenaan.
Kon Yeow menambah, kelulusan laporan EIA adalah untuk pembentukan Pulau A yang mana kerja tambakan akan bermula di lokasi tersebut.
Projek PSI yang sebelum ini dikenali sebagai Penang South Reclamation (PSR) adalah projek mega melibatkan tambakan bagi mewujudkan tiga pulau dengan keluasan 1,821 hektar di kawasan selatan Pulau Pinang.
Projek tersebut yang mula diperkenalkan pada 2015 merupakan modul pembiayaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion selepas SRS Konsortium dilantik sebagai PDP untuk PTMP pada 14 Ogos 2015.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!