Saya pernah kecewa tapi bangkit semula

Ramai pelajar dan usahawan sudah buktikan kejayaan selepas sertai eKelas

A
A
A

No Image Caption

Bagi pelajar Tingkatan 5 sebuah sekolah menengah di Shah Alam, Muhammad Aliff Nassem, kegagalan untuk meneruskan pembelajaran ke sekolah berasrama penuh selepas tamat peperiksaan Tingkatan 3 sebelum ini memang memberi kesan mendalam kepada dirinya.

Perasaan kecewa, malu dan sedih bercampur baur ketika itu kerana gagal untuk memenuhi impian sendiri dan mengecewakan harapan kedua ibu bapanya yang menginginkan dia belajar di sekolah lebih baik.

Perasaan itu terbawa-bawa sehingga dia menginjakkan kaki ke Tingkatan Empat dan ketika itu tak dinafikan dia turut menyalahkan perubahan sistem persekolahan secara online akibat pandemik Covid-19 ketika itu.

"Memang saya kecewa dan sedih bila keputusan peperiksaan akhir Tingkatan 3 gagal melayakkan saya terpilih ke sekolah berasrama penuh.

"Mula-mula ada juga saya salahkan cara belajar PKPd sepanjang tempoh PKP sebagai punca saya gagal belajar dengan baik.

"Tapi sebenarnya tak. Mungkin cuma ada kaedah pengajaran dan pembelajaran secara online itu yang buatkan kita susah nak ikut atau faham," katanya.

Jelas Muhammad Aliff lagi, selepas dia mengetahui kewujudan eKelas Maxis yang lebih komprehensif, inovatif dan menarik, dia terus kekal mengikutinya sehingga hari ini.

Katanya, pada pertengahan penggal persekolahan Tingkatan 4, seorang sepupunya bercerita tentang kebaikan serta kelebihan eKelas Maxis.

"Saya mula ikuti siri eKelas Maxis, ternyata pendekatan yang digunakan untuk mengajar dan belajar di saluran itu lebih menarik.

"Saya mula seronok dan fokus belajar di eKelas Maxis sambil lebih berikan tumpuan pembelajaran dalam kelas di sekolah seperti biasa.

"Alhamdulillah, selepas lebih setahun saya belajar dengan cara eKelas, keputusan peperiksaan saya lebih cemerlang. Dan sekarang saya fokus untuk skor dalam SPM nanti," katanya ceria.

Bengkel interaktif eKelas Maxis menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan.
Bengkel interaktif eKelas Maxis menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan.

Didorong oleh semangatnya dalam menyokong pendidikan, Maxis menerusi program eKelas dan eKelas Usahawan mendidik komuniti dengan akses kepada alatan, kandungan dan pembelajaran digital.

Maxis eKelas kini memasuki tahun ketujuh menyokong pelajar seluruh negara mengakses kandungan pembelajaran digital yang menarik di samping menyediakan pelbagai aktiviti.

Inisiatif pembelajaran digital eKelas selepas waktu sekolah memfokuskan kepada mata pelajaran Sains, Matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Sejarah untuk pelajar dari tahun 4 hingga tingkatan 5.

Melalui portal dan aplikasi, pelajar didedahkan dengan gabungan aktiviti seperti tutorial langsung, pembelajaran berkumpulan, pertandingan dan kandungan digital.

Kini, eKelas memanfaatkan lebih 74,000 pelajar berdaftar dengan menawarkan pengalaman pembelajaran digital mantap termasuk peluang menyertai kempen tahunan seperti pertandingan Bahasa Inggeris dan STEM, serta memohon untuk skim geran pelajar Anugerah Gemilang.

Sejak 2019, eKelas telah diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan (KPM) di bawah program HIP (Highly Immersive Programme) dan telah diperkenalkan di lebih 2,000 sekolah.

No Image Caption

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis, Mariam Bevi Batcha berkata, inklusiviti digital penting dan yakin bahawa setiap individu perlu mendapat manfaat daripada arus teknologi dan pendigitalan.

“Kami berbangga melihat pertumbuhan eKelas dan impaknya kepada pelajar di seluruh negara. Kami mahu memberi peluang kepada mereka meningkatkan prestasi akademik dan mendapat akses kepada kandungan pembelajaran terbaik.

“Di Maxis eKelas, pelajar bukan sahaja memanfaatkan pembelajaran digital untuk bidang akademik, malah berpeluang menyertai kempen yang menyediakan kemahiran tambahan seperti pemikiran kritis serta subjek menjangkaui bidang akademik,” katanya.

Fokus usahawan PKS

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng (kiri) dan Mariam (kanan) menyampaikan sijil dan hadiah kepada Chennie Pang iaitu salah seorang pemenang Pertandingan Bahasa Inggeris Maxis eKelas HIP StoryFest 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng (kiri) dan Mariam (kanan) menyampaikan sijil dan hadiah kepada Chennie Pang iaitu salah seorang pemenang Pertandingan Bahasa Inggeris Maxis eKelas HIP StoryFest 2022.

PKS termasuk mikro merupakan penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia yang membentuk 97.4 peratus daripada semua perniagaan di Malaysia.

Bagi menjadikan eKelas sebagai platform pembelajaran digital yang lebih komprehensif, Maxis mendekati usahawan luar bandar untuk menjalankan projek perintis menerusi bengkel pemasaran digital di beberapa negeri sejak beberapa tahun lalu.

Pada 2021, Maxis melancarkan eKelas Usahawan sebagai program pemasaran digital berstruktur kepada komuniti wanita luar bandar bagi mengukuhkan keupayaan digital mereka.

“Ramai wanita golongan B40 telah menjadi usahawan mikro sama ada memulakan perniagaan katering, menjual kuih atau membuka kedai percetakan.

"Kami membina program ini dengan kandungan berstruktur, menggunakan pendekatan langsung untuk usahawan meningkatkan keupayaan digital dan membantu mengembangkan perniagaan mereka dalam menambah jumlah pelanggan," kata Mariam.

Peserta Maxis eKelas Usahawan mencuba fotografi digital untuk produk mereka semasa bengkel.
Peserta Maxis eKelas Usahawan mencuba fotografi digital untuk produk mereka semasa bengkel.

Program Maxis eKelas Usahawan menyediakan modul-modul dengan tip pemasaran asas, fotografi digital, penulisan iklan (copy writing) dan pemasaran media sosial.

Maxis telah melatih lebih 2,700 usahawan melalui bengkel yang dijalankan secara fizikal dan maya di seluruh negara dan berjaya mendapat maklum balas positif daripada peserta.

eKelas Usahawan bekerjasama dengan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantu lebih ramai usahawan PKS menggunakan pengetahuan dan alatan pemasaran digital asas untuk perniagaan masing-masing.

Komuniti terjejas dibantu

Pada 2021 dan 2022, Maxis telah mempertingkatkan usaha membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat wabak, bantuan bencana dan musim perayaan dengan sumbangan bernilai hampir RM1 juta.

Untuk musim perayaan utama pula, Maxis membantu warga emas, orang kurang upaya, individu berkeperluan khas, golongan B40 (keluarga dan pelajar), ibu tunggal dan gelandangan.

Pada 2022, lebih 2,400 kotak bantuan makanan dan barangan keperluan, baucar makanan, meja serta peranti yang diperbaharui, kit kebersihan dan pek kembali ke sekolah disalurkan.

Maxis bersama-sama Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyampaikan kotak makanan kepada mangsa banjir di Johor.
Maxis bersama-sama Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyampaikan kotak makanan kepada mangsa banjir di Johor.

Menurut Mariam, akses kepada peranti kekal menjadi salah satu cabaran terbesar bagi golongan B40.

Oleh itu, Maxis kerap menyumbang peranti seperti komputer meja dan komputer riba kepada sekolah dan keluarga, termasuk kepada Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dan pusat komuniti di seluruh negara.

“Kami akan terus memainkan peranan sebagai warga korporat yang bertanggungjawab untuk menyediakan akses peranti yang lebih besar dan membantu komuniti memerlukan,”katanya.

Untuk maklumat lanjut berkenaan usaha-usaha murni yang dilaksanakan Maxis sila klik di sini.

No Image Caption

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!