Suriyani tidak pernah berhenti berharap
PONTIAN - Harapan untuk melihat suami sihat tidak pernah terpadam meskipun diuji selama lima tahun dengan pelbagai dugaan sehingga disahkan menghidap jangkitan kuman dalam otak.
Suriyani Basrah, 39, isteri kepada Zahurin Md Sani, 43, yang mengalami jangkitan kuman dalam otak (Right Subdural Empyema) reda nasib menimpa suaminya.
Menurutnya, doktor yang merawatnya mengesahkan penyakit tersebut pada bulan lepas.
“Tahun 2014, suami tak boleh telan makanan dan selalu muntah sampai berat badan turun dan nampak macam tinggal tulang saja.
“Bila dirujuk ke doktor, dia disyaki hidap sejenis penyakit vertigo. Saya dan keluarga bawa suami berubat kampung,” katanya.
Bagaimanapun penyakit suaminya bertambah teruk selepas kakinya mengalami kesakitan yang teruk pada tahun lepas.
“Lepas berubat kampung, suami ambil keputusan nak buat tak tau saja dengan sakitnya. Dia kerja semula sebagai pemandu lori untuk sara tiga anak kami yang masih bersekolah.
“Dalam tempoh dua tahun, keadaan kesihatan suami baik. Tapi tahun lepas penyakit dia datang balik dengan sakit lebih teruk di bahagian kaki,” katanya.
Suriyani berkata, dia tidak menyangka kesakitan kaki yang dialami itu mengakibatkan suaminya langsung tidak boleh berjalan.
“Walaupun sakit kaki, suami tetap pergi kerja. Saya ingat sakit lenguh-lenguh biasa.
“Tiba-tiba suami jatuh dan langsung tak boleh bangun. Dia cuba sedaya upaya bangun, tapi langsung tak bergerak,” katanya.
Tambah Suriyani, suaminya dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi mendapatkan rawatan kecemasan sekitar September tahun lalu.
“Doktor sahkan dia alami jangkitan kuman di otak selain ada cecair di dalam kepala.
“Buat masa ini, suami kena jalani rawatan susulan nak tentukan sama ada dia perlu menjalani pembedahan atau sebaliknya,” katanya.
Menurut Suriyani, bapa mertua, Sani Sakir Mohd, 70, yang bekerja sebagai penebar roti canai banyak membantu termasuk menjadi pemandu kereta untuk dia dan suami berulang-alik ke HSA di Johor Bahru.
“Duit simpanan dah digunakan untuk berubat suami. Setakat ini memang tidak mohon apa-apa lagi bantuan.
“Tuan rumah sewa dan bapa mertua ada beri bantuan kepada kami selepas suami tak lagi boleh bekerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini kelmarin.
Bagi Suriyani, meskipun dia hanya bersekolah sehingga darjah dua kerana kemiskinan keluarga, dia tetap mengutamakan pendidikan anak-anak.
“Tiga orang anak kami iaitu Eryn Syuhada, 16, Faris Ilham Shah, 15, dan Irwa Syafiqa masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Kerang.
“Walaupun susah kami sekeluarga, saya tak akan sesekali membiarkan mereka tak ke sekolah kerana ilmu cukup penting untuk ubah nasib keluarga,”katanya.
Sementara itu Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SMK Telok Kerang, Faizah Wahid bersama Guru Kaunselor, Noor Zahidah Hamzah hadir menziarahi dan menghulurkan bantuan kepada keluarga Suriyani.
Menurut Faizah, guru-guru dan warga sekolah sentiasa bersedia membantu keluarga Suriyani.
Hadir sama, Ketua Kampung Kawasan 1 Mukim Rimba Terjun Telok Kerang, Tahir Md Said.
Tahir berkata, bantuan dari segi permohonan mendapatkan bantuan JKM dan Baitulmal akan dihulurkan pihaknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!