KEDA tak pernah keluar borang permohonan rumah di Binjal

Pengurus Besar KEDA, Datuk Kamaruddin Abd Akib.
Pengurus Besar KEDA, Datuk Kamaruddin Abd Akib.
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) tidak pernah melantik mana-mana individu untuk mengedar dan menjual borang permohonan projek perumahan Pusat Pertumbuhan Desa (PPD) Binjal di Kubang Pasu.

Pengurus Besar KEDA, Datuk Kamaruddin Abd Akib berkata, setakat ini, KEDA belum mengeluarkan borang permohonan kepada orang ramai untuk projek perumahan bernilai RM15.131 juta yang bermula sejak 2021 itu.

Bagaimanapun, Kamaruddin berkata, pihaknya ada menerima maklumat daripada orang awam bahawa ada pihak menjual borang permohonan itu antara harga RM30 hingga RM50.

"Kita mendapat makluman bahawa terdapat pihak-pihak yang telah menjual borang permohonan untuk menjual rumah di situ (Binjal). (KEDA) belum mengeluarkan tawaran kepada pemohon-pemohon.

"Jadi saya nak menyerulah kepada (orang ramai), jikalau ada pihak-pihak yang melakukan aktiviti seperti penjualan borang ini, (Sila) abaikan saja," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Rakan Strategik dan Jamuan Aidilfitri KEDA di pekarangan Kompleks Ibu Pejabat KEDA, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, pihaknya mendapat makluman tentang kegiatan menjual borang permohonan terbabit apabila ada individu datang ke pejabat mereka untuk mendapatkan maklum balas tentang status permohonan.

"Ada sehari itu, dia (individu terlibat) dapat jual sehingga 50 borang. Kira-kira RM1,500 dia sapu (wang)," katanya.

Ujarnya, KEDA belum membuat sebarang laporan polis tentang kejadian, namun mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan jualan borang permohonan rumah itu.

Sehubungan itu, Kamaruddin memaklumkan, KEDA akan mengeluarkan borang rasmi untuk permohonan PPD Binjal dengan dilengkapi ciri keselamatan dan nombor siri yang tidak boleh ditiru.

Menurut beliau, borang untuk projek perumahan terbabit akan diberikan secara percuma apabila permohonan dibuka tidak lama lagi.

Tambah Kamaruddin, projek yang menawarkan 50 unit kediaman dan dilengkapi kemudahan lain dijangka siap pada Ogos depan dan boleh diduduki sepenuhnya pada tahun depan.

Dalam perkembangan lain, Kamaruddin memberitahu, KEDA telah menerima peruntukan lebih RM62.1 juta dengan kapasiti 30 projek pada tahun 2023.

"Ia meliputi peruntukan RM42.1 juta untuk 13 projek prasarana, RM9.5 juta untuk enam projek modal insan, RM8 juta untuk tujuh projek ekonomi atau pertanian serta RM2.5 juta bagi empat projek usahawan," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian antara agensi media di Kedah yang menerima penghargaan dari KEDA kerana bersama-sama membantu agensi itu termasuklah menghebahkan gerak kerja mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!