Kutipan sampah menurun pada Aidilfitri - KDEBWM

A
A
A

SHAH ALAM - KDEB Waste Management (KDEBWM) mengutip 7, 700 tan sampah domestik di negeri Selangor dalam tempoh dua hari pertama sambutan Aidilfitri pada tahun ini.

Pengarah urusannya, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, jumlah kutipan sampah menurun berbanding tempoh sama pada tahun lalu yang mencatatkan kutipan hampir 10,000 tan sampah.

"Saya berpandangan pengurangan sampah di negeri ini disebabkan ramai orang telah meninggalkan Selangor untuk balik ke kampung sejak Khamis dan yang tinggal di negeri ini tidak ramai.

"Hari Sabtu, kita hanya catatkan (kutipan sampah) hampir 4, 000 tan sampah satu hari yang biasanya kita kutip sekitar 7, 000 tan sampah sehari (di negeri itu).

"Pada Ahad pula kita kutip lebih kurang 3, 700 tan jadi jumlah dua hari ini ialah 7, 700 tan berbanding hari pertama dan kedua Aidilfitri tahun lalu kita kutip hampir 10, 000 tan," katanya pada Khamis.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KDEBWM yang lebih 2000 pengunjung termasuk pemimpin setempat di Pusat Konvensyen Shah Alam di Seksyen 14 di sini.

Ramli menambah walaupun jumlah penduduk berkurang pada masa-masa tertentu KDEBWM tetap melaksanakan tanggungjawab membuat kutipan sampah pada setiap hari sepanjang tahun.

Ramli (berdiri, empat dari kiri) ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KDEBWM yang dihadiri lebih 2000 pengunjung termasuk pemimpin setempat di Pusat Konvensyen Shah Alam di Seksyen 14 di sini.
Ramli (berdiri, empat dari kiri) ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KDEBWM yang dihadiri lebih 2000 pengunjung termasuk pemimpin setempat di Pusat Konvensyen Shah Alam di Seksyen 14 di sini.

"Bagaimana selepas seminggu Aidilfitri dan orang ramai mula pulang ke Selangor jumlah kutipan sampah kembali seperti biasa dan meningkat dengan adanya penganjuran rumah terbuka.

"Banyak kawasan perumahan menganjurkan rumah terbuka biasanya pada Sabtu dan Ahad dan ini menyebabkan pembuangan sampah meningkat khususnya sampah sisa makanan," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati semua pihak ingin menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri agar menyediakan tempat pembuangan sampah bersesuaian di kawasan masing-masing.

"Pastikan sampah juga dimasukkan ke dalam plastik agar kutipan lebih mudah dilakukan serta saya juga menyeru agar penganjur tidak membazir dengan memastikan penyediaan makanan tudak berlebihan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!