Sabah beri perhatian isu tiket penerbangan mahasiswa

Mohd Arifin ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Petronas di Kota Kinabalu.
Mohd Arifin ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Petronas di Kota Kinabalu.
A
A
A
KOTA KINABALU - Isu tiket penerbangan untuk pelajar dan mahasiswa dari Sabah yang berada di Semenanjung antara perkara yang turut diberi keutamaan oleh Exco Pendidikan Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Beliau berkata, banyak perkara yang disuarakan oleh pelajar dan mahasiswa dalam lawatannya di pusat pendidikan di Semenanjung.

"Insya-ALLAH bulan depan saya akan membuat lawatan kepada pelajar atau mahasiswa yang berada di Semenanjung dan pada bulan puasa yang lalu saya telah membuat lawatan di Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kedah.

"Lawatan ini adalah bagi mendapatkan input secara langsung apa isu atau perkara yang mereka perlu termasuk isu tiket pelajar yang sering ditimbulkan dan kita sedia mendengar pandangan, syor dan pendapat mereka untuk kita perhalusi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka rumah Terbuka Petronas di sini pada Khamis.

Diminta mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata, pihaknya juga akan melakukan pertemuan dengan pegawai dan pihak berkaitan termasuk syarikat penerbangan sedia ada berhubung perkara itu.



"Saya akan buat pertemuan dengan beberapa pegawai berkaitan termasuk Pegawai Yayasan Sabah, kita juga ada Jawatankuasa Tabung Pendidikan Negeri Sabah yang diilhamkan Ketua Menteri," katanya.

Ditanya adakah kerajaan berhasrat untuk menggunakan dana daripada tabung berkenaan bagi membantu pelajar berhubung isu tiket penerbangan, beliau berkata perbincangan akan dilakukan mengenainya.

"Belum pasti lagi, tetapi kita akan bincang dan kita bawa perkara ini kepada kementerian berkenaan dan syarikat penerbangan yang berkenaan," katanya.

Isu harga tiket penerbangan yang mahal antara yang perkara yang mendapat perhatian meluas di negeri ini terutama pada musim perayaan apabila rakyat Sabah yang berada di Semenanjung terpaksa menanggung kos yang tinggi berikutan harga tiket yang mahal yang boleh mencecah sehingga ribuan ringgit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!