Polis minta mangsa gangguan seksual dalam MRT buat laporan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

CHERAS - Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta individu yang pernah menerima gangguan seksual di dalam gerabak Transit Aliran Massa (MRT) untuk tampil membuat laporan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pada 11 Mei sekitar jam 9.55 pagi, pihak polis telah mengesan satu klip video berdurasi 31 saat di Twitter yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun memaparkan dakwaan terdapat individu melakukan gangguan seksual.

Beliau berkata, suspek lelaki dipercayai melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di dalam gerabak MRT dari arah Cheras menghala ke pusat bandar raya berhadapan dengan sebuah pusat membeli belah di Cheras, Kuala Lumpur.

"Sehingga kini, pihak PDRM masih belum menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian ini.

"Polis meminta kerjasama individu yang terlibat untuk tampil membuat laporan polis agar siasatan dapat dijalankan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu katanya, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat berhubung kejadian tersebut.

Ini kerana katanya, tindakan dan reaksi orang ramai boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan ketenteraman awam.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051; Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau menyalurkan maklumat di balai polis berdekatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!