Berbasikal lebuhraya rangkul perak, gangsa

Nur Amirull merangkul pingat perak dalam acara kriterium lelaki Sukan SEA Kemboja 2023 pada Khamis.
Nur Amirull merangkul pingat perak dalam acara kriterium lelaki Sukan SEA Kemboja 2023 pada Khamis.
A
A
A

SKUAD lebuhraya Malaysia bermula langkah kanan apabila menggondol dua pingat – perak dan gangsa – menerusi acara kriterium lelaki serta wanita pada temasya Sukan SEA 2023 di Siam Reap, pada Khamis.

Acara kriterium lelaki yang bermula di depan Angkor Wat menyaksikan pelumba profesional negara, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki kempunan kilauan emas selepas kalah separuh tayar.

Tonggak kelab benua Terengganu Cycling Team (TSG) itu merakam masa 1 jam 13 minit 38 saat untuk merangkul pingat perak manakala Terry Yudha Kusuma dari Indonesia juga mencatat masa serupa, menuai kilauan emas.

Pelumba Filipina, Ronald Oranza melengkapkan podium kemenangan acara pembuka disiplin lebuhraya Sukan SEA 2023 dengan menggondol pingat gangsa selepas tercicir satu di belakang Terry Yudha dan Nur Amirull Fakhruddin.

Pelumba cilik kelahiran Terengganu itu mengaku sudah mencuba sedaya upaya namun nasib tidak menyebelahi Malaysia.

“Saya bersama Akmal Hakim (Zakaria) sudah mencongak strategi menjelang ke garisan penamat. Bagaimanapun, pelumba Indonesia lebih bertuah kerana hanya di depan separuh tayar sahaja,” katanya.

Tuaian pingat berterusan untuk kem negara apabila pelumba wanita, Nur Aisyah Mohammad Zubir berjaya merangkul kilauan gangsa dengan catatan masa 55 minit 19 saat sekaligus mempertahankan kedudukan yang dimenanginya di Sukan SEA 2021 di Vietnam tahun lalu.

Nur Aisyah merangkul pingat gangsa sekali gus mempertahankan kedudukan dimenanginya di edisi Vietnam 2021 tahun lalu.
Nur Aisyah merangkul pingat gangsa sekali gus mempertahankan kedudukan dimenanginya di edisi Vietnam 2021 tahun lalu.

Harapan Thailand, Jutatip Maneephan yang turut merakam masa sama menang pingat emas manakala bintang Pro Tour Vietnam, Thi That Nguyen sekadar menuai kilauan perak.

Dalam pada itu, jurulatih skuad lebuhraya, Sayuti Mohd Zahit percaya Nur Amirull Fakhruddin sebenarnya berpeluang membawa pulang pingat emas, namun mengaku pelumba Indonesia memiliki sedikit kekuatan memecut.

“Apapun saya berterima kasih kepada semua pelumba negara pada hari ini (semalam). Mereka telah berjuang berhabis-habisan. Mereka turun dengan hakikat Malaysia tidak meraih sebarang pingat menerusi acara kriterium di Vietnam tahun lalu.

“Jadi saya bersama seorang lagi pengurus dan jurulatih, Mohamed Saiful (Anuar Aziz) mencatur strategi bagaimana untuk meraih sebutir pingat. Saya percaya pingat perak ini akan membawa semangat skuad lebuhraya untuk mengekalkan emas yang dimenangi di Vietnam,” katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan, Norazman Datuk Abu Samah pula mengaku lega dengan pencapaian pingat perak dan gangsa yang dimenangi menerusi acara kriterium lelaki serta wanita.

“Untuk acara esok, saya serahkan kepada kedua-dua jurulatih untuk mencatur strategi. Namun saya percaya skuad lebuhraya berpengalaman luas untuk kekalkan pingat emas yang dimenangi di Vietnam,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!