'Kami sudah lali', rakyat Kelantan harap PM bawa khabar gembira
KOTA BHARU - Sebagaimana sedia maklum Kelantan antara negeri yang sering kali menjadi tumpuan utama berkait pelbagai permasalahan bukan sahaja air malahan ketinggalan dari segi infrastruktur dan peluang pekerjaan.
Tinjauan Sinar Harian sehari sebelum Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani yang akan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim esok, beberapa individu yang ditemui mengharapkan akan ada pengumuman yang menggembirakan oleh pemimpin negara itu.
Pembantu pembersihan, Tuan Nor Fatimah Tuan Nazri, 34, berkara, masalah bekalan air di Kelantan perlu diatasi segera kerana isu ini tidak pernah selesai sejak lebih 30 tahun lalu.
“Setiap kali buka paip, air keruh kekuningan dan banyak masa tak ada air. Kalau ada pun guna untuk basuh baju, semua jadi rosak.
“Kami sudah lali dengan keadaan ini tetapi tetap mengharapkan Perdana Menteri melakukan sesuatu yang terbaik dan segera bagi mengatasi masalah ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Khamis.
Sementara itu, seorang penuntut institusi awam, Muhammad Fakhrul Fahmi Lokman, 19, berkata, bagi menggelakkan anak tempatan berhijrah ke luar negeri, peluang pekerjaan perlu banyak diwujudkan selain menambah baik kemudahan infrastruktur.
“Walaupun terdapat beberapa projek yang giat dijalankan seperti projek utama Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Taman Perindustrian Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai, namun belum lagi memberi impak kepada kira-kira 1.2 juta rakyat Kelantan.
“Perbezaan pembangunan amat kerata berbanding negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur yang jauh lebih maju berbanding negeri ini,” katanya.
Penoreh getah, Yusmazaini Yahya, 31, pula mengharapkan Anwar mengumumkan harga getah lebih tinggi iaitu RM3 sekilogram berbanding RM2.80 ketika ini.
“Semua harga meningkat dan mahal tetapi harga getah masih kekal sama.
“Harga gula pun lebih mahal daripada harga getah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!