Pertuduhan berdasarkan maklumat, bukti sahih - SPRM

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Tohmahan mengatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sengaja mengadakan siasatan untuk pertuduhan adalah tidak benar.

SPRM dalam kenyataan berkata, semua siasatan yang dijalankan adalah berdasarkan maklumat serta bukti sahih yang diperoleh oleh suruhanjaya.

"Kertas-kertas siasatan yang telah dilengkapkan dengan penemuan elemen-elemen kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 serta akta berkaitan kemudian dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk kajian dan pertimbangan sewajarnya.

"Justeru, tohmahan oleh seorang bekas menteri yang mengatakan SPRM sengaja mengada-adakan siasatan bagi tujuan pertuduhan untuk mencemarkan namanya adalah tidak benar sama sekali serta menjejaskan imej suruhanjaya ini," katanya pada Khamis.

Tambah kenyataan itu, setiap tindakan sama ada semasa proses siasatan atau selepas pertuduhan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.

Jelasnya, ini berdasarkan prinsip bebas, telus dan profesional serta tidak sesekali bertujuan menekan mana-mana individu tertentu atas faktor politik atau seumpamanya.

Pada Rabu, seorang pengarah syarikat bergelar Datuk Seri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15 juta bagi mendapatkan projek milik agensi di bawah KDN pada Jun dan Julai tahun lalu.

Sim Choo Thiam, 54, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Susulan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berasa hairan apabila namanya dikaitkan dalam kes rasuah membabitkan projek-projek di bawah KDN.

Kata Ahli Parlimen Larut itu, jelas pertuduhan sebegitu sengaja diada-adakan dan dibuat sebegitu rupa untuk mengheret nama dalam perkara yang tidak langsung membabitkannya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!