Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 sangat bermakna - Anwar

Anwar ketika sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2023 hari ini. Foto Bernama
Anwar ketika sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2023 hari ini. Foto Bernama
A
A
A

LABUAN BAJO - Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 yang berakhir hari ini sangat bermakna memandangkan negara-negara anggota berjaya memperkukuh dan meningkatkan kerjasama serantau, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kerjasama yang disepakati termasuk dalam bidang ekonomi, ekosistem kereta elektrik, pelaksanaan urus niaga mata wang tempatan (mata wang masing-masing negara ASEAN) dan pembayaran digital antara negara agar ASEAN menjadi lebih kukuh.

Bercakap kepada media Malaysia, beliau berkata pelbagai kerjasama konkrit yang disepakati itu membuktikan ASEAN masih teguh meskipun sesetengah pihak menganggap blok serantau 'agak lemah' dalam menangani cabaran semasa.

Menurut Anwar, pemimpin ASEAN juga telah bersetuju memastikan ‘Pandangan ASEAN Mengenai Indo-Pasifik (AOIP)’ kekal sebagai mekanisme utama dalam pengurusan hubungan antara negara di rantau Indo-Pasifik.

Beliau berkata, AOIP lebih seimbang dan mengutamakan keselamatan, kestabilan dan kemakmuran rantau selain menggalakkan kerjasama terbuka, inklusif dan lebih mampan.

"Pemimpin sepakat mengukuhkan pendirian dan mempertahankan kedudukan ASEAN sebagai zon bebas dan mengelakkan daripada terlibat dalam pertarungan kuasa besar,” kata beliau.

Anwar juga berkata, gesaan beliau terhadap penubuhan Dana Monetari Asia untuk mengukuhkan kebergantungan ekonomi dan jaringan keselamatan di rantau ini menerima sambutan positif ketua-ketua negara ASEAN.

Bagaimanapun, ia tidak dibincang secara khusus dan masih di peringkat awal, katanya.

Mengenai isu Myanmar, Anwar berkata, pemimpin serantau sepakat mempertahanan prinsip Konsensus Lima Perkara (5PCs) untuk menyelesaikan konflik yang sangat kontroversi dan rumit serta pengurusan bantuan kemanusiaan.

Menurut Anwar, kaedah penyelesaian yang sedang dijalankan itu berdasarkan hukum antarabangsa dan rundingan dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar adalah untuk menggalakkan kemajuan dalam pelaksanaan 5PCs.

"Pendirian kita lebih jelas kerana menangguhkan penyelesaian isu Myanmar ini memberi beban kepada etnik Rohingya dan juga Malaysia yang mempunyai pelarian yang telah mencecah lebih 200,000," katanya.

Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berlepas pulang ke Malaysia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Komodo kira-kira pukul 2 petang hari ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!