Tiga anak Siew Hong masih Muslim - Mahkamah
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis memutuskan tiga anak seorang ibu tunggal, Loh Siew Hong masih bergelar Muslim.
Ia selepas Hakim, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menolak permohonan semakan kehakiman Siew Hong berhubung penukaran agama Islam secara sepihak, oleh bekas suaminya Muhammad Nagashwaran Muniandy ke atas tiga anaknya, tiga tahun lalu.
Semasa prosiding secara dalam talian, hakim ini berkata, tiada bukti dikemuka kepada mahkamah bahawa agama tiga kanak-kanak itu sudah ditukar semula kepada agama Hindu.
Malah, hakim ini berkata, mereka telah memeluk Islam secara sah mengikut undang-undang negeri Islam Perlis, dengan afidavit pihak berkuasa Islam negeri mengesahkan bahawa kanak-kanak itu mengucap kalimah syahadah pada tahun 2020.
Menurutnya, wanita berusia 35 tahun itu selaku pemohon juga tidak pernah menafikan tiga anaknya masih mengamalkan ajaran Islam seperti menunaikan solat, di sepanjang berada dalam jagaannya.
“Mengambil kira semua keadaan kes itu, tiada bukti di hadapan saya bahawa ketiga-tiga anak itu tidak senang tinggal bersama pemohon.
“Walaupun ini adalah isu lain, ia agak berkaitan dengan kes di hadapan saya, tiada bukti bahawa mereka sudah berhenti menganut agama Islam ketika berada di bawah jagaan ibu mereka.
“Oleh itu, kebajikan kanak-kanak, dalam pengertian kes Indira Ghandi, menetapkan bahawa status quo harus kekal,” katanya.
Wanita itu memfailkan permohonan semakan kehakiman itu pada 25 Mac 2022 dengan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, MAIPs, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri Perlis dinamakan sebagai responden pertama hingga keempat.
Menurut permohonan yang difailkan, wanita itu antara lainnya memohon agar anak-anaknya, iaitu pasangan kembar berusia 15 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun diisytiharkan sebagai penganut agama Hindu dan akuan memeluk agama Islam kesemua kanak-kanak itu bertarikh 7 Julai 2020 dibatalkan.
Ini kerana dia mendakwa ketiga-tiga anaknya telah didaftarkan sebagai Muslim oleh bekas suami Siew Hong yang memeluk Islam, M. Nagahswaran tanpa persetujuannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!