Bot nelayan tempatan kelas A ditahan

Bot nelayan tempatan kelas A ditahan Maritim Malaysia Pahang di Rompin pada Rabu. - Foto ihsan Maritim Malaysia
Bot nelayan tempatan kelas A ditahan Maritim Malaysia Pahang di Rompin pada Rabu. - Foto ihsan Maritim Malaysia
A
A
A

KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas A di Rompin kerana disyaki melanggar syarat sah lesen, kira-kira jam 3.40 petang pada Rabu.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim, Kamal Ariffin Jusoh berkata, bot itu ditahan semasa rondaan Op Makmur pada jarak lebih kurang tujuh batu nautika dari Kuala Endau, Rompin selepas ditemui dalam keadaan mencurigakan.

Seorang tekong warga Laos ditemui atas bot tersebut dan tidak memiliki permit kerja sah. - Foto ihsan Maritim Malaysia
Seorang tekong warga Laos ditemui atas bot tersebut dan tidak memiliki permit kerja sah. - Foto ihsan Maritim Malaysia

"Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan seorang tekong warga Laos berusia 37 tahun dan tiada awak-awak di atas bot serta tidak mempunyai sebarang permit kerja yang sah.

"Bot tersebut diubahsuai tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia kerana jenama enjin tidak seperti yang didaftarkan di dalam buku lesen," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ujar beliau, pemilik bot juga didapati melanggar syarat sah lesen di mana bot nelayan kelas A perlu diusahakan sendiri dan tidak dibenarkan menggajikan warga asing.

"Tiada hasil laut dan peralatan menangkap ikan ditemukan di atas bot ketika penahanan dibuat.

"Tekong dan bot dibawa ke jeti Pos Maritim Teluk Gading sebelum diserahkan kepada

pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa permit yang sah," jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!