Syarikat swasta mahu teruskan HSR KL-Singapura - Anthony
JOHOR BAHRU - Kementerian Pengangkutan sedang meneliti kertas cadangan pelaksanaan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura selagi ia membabitkan pelaburan swasta dari negara ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beberapa syarikat swasta juga telah menyatakan minat untuk melaksanakan pembangunan HSR KL-Singapura.
Menurutnya, model pelaksanaan dan pembiayaan yang hendak digunakan syarikat swasta itu perlu diteliti terlebih dahulu agar bersesuaian dengan projek berkenaan.
"Setakat ini, kita masih di peringkat mendapatkan maklum balas memandangkan terdapat beberapa syarikat swasta yang berminat mahu projek HSR KL-Singapura diteruskan.
"HSR KL- Singapura turut menjadi antara perkara yang dibincangkan dengan Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran dalam pertemuan pada tengah hari Khamis," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena lawatan ke tapak projek pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura di Stulang Laut di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Iswaran menjelaskan, Singapura terbuka dan bersedia meneliti apa juga cadangan Malaysia bagi pelaksanaan semula HSR KL- Singapura.
"Saya di sini memberi komitmen Singapura untuk meneliti cadangan dari Malaysia berhubung pelaksanaan sema HSR.
"Ini juga menjadi komitmen bersama Singapura bagi terus memperkasa jalinan perhubungan antara dua negara membabitkan laluan darat, udara dan air.
"Oleh itu, Singapura terbuka untuk bekerjasama dengan Malaysia untuk meneliti apa jua cadangan untuk pelaksanaan semula HSR," katanya.
Sebelum itu, media melaporkan Perjanjian Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura disahkan telah berakhir pada 31 Disember 2020 sekali gus menyaksikan projek tersebut terbatal secara sendirinya.
Malaysia dan Singapura mula menandatangani perjanjian dua hala mengenai projek itu pada 13 Disember 2016 tetapi menamatkan projek itu selepas mengalami beberapa kelewatan.
Projek yang membabitkan pembangunan sepanjang 350 kilometer itu akan memendekkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura kepada hanya 90 minit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!