Pelaburan industri halal mampu cecah trilion

Mohd Fakhrulrazi (belakang tengah) melihat pertukaran dokumen antara wakil Citra Resources and Services (depan kanan) dan PT Nira Lestari International Indonesia (depan kiri) pada Majlis Kerjasama Pemasaran Produk Berasaskan Kelapa di Dewan Daza Villa, Kampung Perepat, Klang di sini pada Khamis.
Mohd Fakhrulrazi (belakang tengah) melihat pertukaran dokumen antara wakil Citra Resources and Services (depan kanan) dan PT Nira Lestari International Indonesia (depan kiri) pada Majlis Kerjasama Pemasaran Produk Berasaskan Kelapa di Dewan Daza Villa, Kampung Perepat, Klang di sini pada Khamis.
A
A
A

PERNIAGAAN industri halal antara Malaysia, Indonesia dan Thailand mampu menjangkau pelaburan mencecah trilion ringgit pada masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Stanco Industri Halal Selangor, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, pertemuan dengan pengusaha di dua negara terbabit sedang giat dijalankan bagi menubuhkan sekretariat usahawan Muslim serantau di ketiga-tiga negara tersebut.

Menurut beliau, ketiga-tiga negara amat serius membangunkan industri halal kerana ia boleh dilaksanakan dengan baik terutama penyediaan makanan halal.

"Industri halal ini berperanan penting kerana sebagai satu tuntutan untuk mendapatkan makanan, penentuan dan kualiti halal mengikut syariat sebenar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Kerjasama Pemasaran Produk Berasaskan Kelapa antara Citra Resources and Services dan PT Nira Lestari International Indonesia di Dewan Daza Villa, Kampung Perepat, Klang di sini pada Khamis.

Mohd Fakhrulrazi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru memberitahu, meskipun Thailand bukanlah sebuah negara Islam, namun mereka juga menitikberatkan soal pensijilan halal itu sendiri.

Bagaimanapun, jelas beliau, bahan mentah bagi penghasilan produk terutama makanan di Thailand kebanyakannya diambil dari negara bukan Islam lain.

"Kita sepatutnya boleh perkenalkan produk (bahan mentah) daripada kita (Malaysia) atau pun Indonesia.

"Saya beri contoh, Indonesia dari segi bahan mentah dan kos tenaga kerja di sana jauh lebih murah berbanding di Malaysia.

"Tetapi dari segi teknologi, Malaysia mungkin ke hadapan dan kita juga banyak bantuan dari agensi kerajaan lain dari segi kajian, pemasaran produk dan sebagainya," ujar beliau.

Sehubungan itu, katanya, beliau yakin kerjasama antara tiga negara Asia Tenggara itu mampu dimanfaatkan dalam rangka hubungan perniagaan industri halal terbabit.

"Thailand sendiri sebuah negara yang banyak menarik pelancong khususnya dari Timur Tengah.

"Pembangunan industri halal ini dapat meyakinkan pelancong Islam untuk datang ke sana dan ini juga dapat memperkenalkan produk dari negara kita ke pelancong luar," jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!