JPDP siasat kebocoran data pemohon UiTM

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) menyiasat insiden ketirisan data peribadi pemohon Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ketua Pengarahnya, Profesor Dr Mohd Nazri Kama berkata, JPDP telah menghubungi UiTM bagi mendapatkan maklum balas dan status pemilikan data yang terlibat.

Menurut beliau, jabatan itu turut bekerjasama dengan pihak CyberSecurity untuk mengenal pasti sama ada terdapat sebarang pelanggaran di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709].

"Saya menggesa agar semua pengguna data untuk mematuhi prinsip, peraturan dan Standard Perlindungan Data Peribadi di bawah Akta 709," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pengguna data diingatkan agar lebih teliti dan berhati-hati ketika memproses data peribadi bagi mengelakkan berlakunya insiden ketirisan data peribadi akibat kecuaian.

Pada Selasa, UiTM memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan hingga berlaku kebocoran data lebih 11,000 pemohon universiti berkenaan.

Menerusi akaun Twitter rasminya, UiTM mengesahkan bahawa pautan kepada senarai sebanyak 11,891 nombor kad pengenalan dan emel pemohon itu tidak lagi aktif kerana kemas kini telah dilakukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!