Pemimpin ASEAN sepakat majukan rangkaian pembayaran serantau

Sesi pemukiman bersama Ketua-Ketua Negara sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-42, hari ini. Foto Bernama
Sesi pemukiman bersama Ketua-Ketua Negara sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-42, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

LABUAN BAJO - Untuk memudahkan integrasi ekonomi serantau, pemimpin ASEAN menghasilkan deklarasi mengenai memajukan rangkaian pembayaran serantau dan mempromosikan transaksi mata wang tempatan, di Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 di sini, pada Rabu.

Menurut deklarasi itu, para pemimpin mengiktiraf potensi manfaat penggunaan mata wang tempatan dalam mengukuhkan daya tahan kewangan, memperdalam integrasi kewangan serantau dengan menambah baik perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN selaih mengukuhkan rantaian nilai serantau.

Para pemimpin ASEAN turut mengisytiharkan komitmen untuk memajukan rangkaian pembayaran serantau dengan menggunakan peluang baru muncul yang dicetuskan oleh inovasi bagi memudahkan pembayaran rentas sempadan yang lancar dan selamat, dengan mengambil kira keadaan negara.

Menurut laporan Xinhua, para pemimpin turut bersetuju menggalakkan penggunaan mata wang tempatan bagi urus niaga rentas sempadan di rantau ini dan menyokong penubuhan Pasukan Petugas untuk meneroka pembangunan Rangka Kerja Transaksi Mata Wang Tempatan ASEAN.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 tahun ini bertemakan "ASEAN Matters: Epicentrum of Growth", diadakan dari 9 hingga 11 Mei di bandar Labuan Bajo, Indonesia. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!