PRN: ADUN Meru serah keputusan kepada pucuk pimpinan PKR
KLANG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar menyerahkan sepenuhnya keputusan pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sama ada mencalonkan beliau atau tidak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Mohd Fakhrulrazi berkata, penentuan calon mestilah melalui rundingan antara kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan beliau akur dengan keputusan parti.
"Saya tidak berhak untuk menentukan di mana saya akan bakal bertanding atau tidak bertanding (PRN Selangor), tetapi secara peribadi sudah pastilah saya lebih selesa untuk berada di DUN (Dewan Undangan Negeri) sama (Meru)," katanya.
Beliau memberitahu, pelbagai sudut diambil dalam menentukan soal calon PRN dan parti mementingkan soal kepentingan bersama berbanding kehendak individu.
Bagaimanapun, katanya, sepanjang sepenggal perkhidmatannya di DUN Meru pelbagai perkara berjaya diselesaikan.
"Empat fokus utama saya di Meru ini selesai iaitu isu infrastruktur, banjir, sampah dan warga asing," jelas beliau.
Ujar Mohd Fakhrulrazi, setakat ini, lebih 90 peratus jalan di DUN itu telah dibaik pulih melainkan jalan persendirian.
"Berkaitan masalah banjir pula banyak projek tebatan banjir dilaksanakan dan walaupun ia tidak dapat diselesaikan sepenuhnya, tetapi sudah banyak perubahan," jelas beliau.
Selain itu, katanya, isu sampah juga dapat ditangani berbanding sebelumnya dan keadaan semakin terkawal.
Beliau menjelaskan, isu warga asing juga antara diperjuangkan beliau meskipun dahulu Meru dikenali sebagai 'mini Dhaka'.
"Hari ini kita boleh lihat bagaimana lebih sistematik pengurusan warga asing ini dari segi penempatan mereka di asrama yang tidak lagi secara terbuka.
"Kita telah mengadakan kerjasama dengan berapa syarikat besar untuk menyediakan penempatan warga asing supaya tidak bercampur dengan warga tempatan dengan tujuan mengawal mereka serta mengelakkan masalah sosial," tegas beliau.
Mohd Fakhrulrazi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu memenangi kerusi DUN Meru atas tiket Parti Amanah Negara (Amanah).
Bagaimanapun, Mohd Fakhrulrazi kemudiannya menyertai PKR.
Selain Mohd Fakhrulrazi, ADUN Sabak, Ahmad Mustain Othman juga memenangi kerusi DUN atas tiket Amanah dan kemudian menyertai PKR.
PKR sebelum ini dilaporkan bersedia memulangkan dua kerusi iaitu DUN Sabak dan Meru kepada Amanah.
Meskipun Ahmad Mustain dan Mohd Fakhrulrazi menyertai PKR, tetapi dua kerusi itu milik Amanah untuk ditandingi pada PRN Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!