Malaysia kutuk sekeras-kerasnya serangan udara Israel di Gaza
PUTRAJAYA - Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara yang dilakukan rejim Israel ke atas bangunan kediaman dan kawasan lain di Gaza sejak 9 Mei lalu, yang telah meragut sekurang-kurangnya 27 nyawa rakyat Palestin dan mencederakan lebih 70 orang awam.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) hari ini, serangan terbaru oleh rejim Israel itu, satu lagi sikap tidak acuh dan tidak menghormati hak asasi manusia antarabangsa serta undang-undang kemanusiaan.
"Masyarakat antarabangsa perlu bertindak serentak untuk menamatkan penganiayaan selama beberapa dekad terhadap rakyat Palestin,” menurut kenyataan itu.
Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa mengecam dengan tegas tindakan rejim Israel kerana berterusan melakukan penindasan tidak berperikemanusiaan dan jenayah apartheid yang mengerikan terhadap rakyat Palestin.
Menurut kenyataan itu, Malaysia turut menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk mendesak Israel bertanggungjawab atas semua pelanggaran dan kekejamannya.
"Malaysia berpegang teguh dengan pendirian bahawa rakyat Palestin berhak memiliki negara mereka sendiri yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” menurut Wisma Putra.
Menurut laporan media, tiga komander kanan tentera kumpulan Islamic Jihad, isteri dan anak mereka antara yang terkorban dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza sejak Selasa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!